Pelakon dan model Ahya Rosli berkongsikan berita gembira apabila isterinya, Shahirah Sanusi selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka Selasa lalu.
Menurut Ahya, bayi lelakinya seberat 3.33 itu sepatutnya lahir pada awal Januari depan namun tidak sangka keluar awal daripada jangkaan.
BACA: Ahya Rosli Dikecam Biar Tarian Separuh Bogel Di Majlis Kahwin
“Alhamdulillah selepas dua tahun akhirnya kami dikurniakan cahaya mata… sepatutnya baby lahir awal Januari depan tapi dia nak keluar awal pula.
“Isteri masuk bilik bersalin selepas Zohor, tanpa sebarang bius atau bantuan ubatan dia berjaya melahirkan anak kami secara normal. Isteri saya memang kuat. Alhamdulillah kedua-duanya berada dalam keadaan baik dan sihat. Bayi sempurna sifatnya, wajah pun sama macam saya,” katanya.
Menyaksikan sendiri isterinya bertarung nyawa melahirkan cahaya mata mereka sehingga menitiskan air mata, Ahya berkata ia pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.
“Pengalaman paling menyentuh hati saya apabila melihat isteri meneran nak bersalin… semasa itu saya berada di sebelah dia, saya selawat di tepi telinga dia sambil kipaskan dia sampai keluar air mata melihat kesukaran itu.
“Memang kasihan sangat tengok isteri berpeluh-peluh walaupun dalam bilik bersalin itu sejuk. Mungkin sebab dia terlalu penat kerana menahan kesakitan.
“Saya diberi peluang memotong tali pusat bayi… memang takut sangat masa itu tapi Alhamdulillah semuanya selesai dengan begitu baik. Saya juga dapat azankan bayi, masa pegang baby itu memang rasa happy sangat,” katanya.
Ahya yang juga merupakan anak pelakon terkenal l Normah Damanhuri ini berkahwin dengan Shahirah di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur pada 29 Mac 2019.