Afdlin Shauki ‘Sorok’ Kekasih, Hormat Bekas Isteri

Hampir setahun bergelar duda, pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki mengakui sudah bertemu cinta baru. Bagaimanapun, Afdlin belum bersedia untuk berkongsikan perkara itu kepada umum.

Memetik Kosmo, Afdlin juga berkata dia memilih untuk mengunci mulut mengenai hubungan dengan kekasih kerana  menghormati bekas isteri, Datin Maria Christina Orow Abdullah.

BACA: Afdlin Shauki Kekok Sebut Bekas Isteri, Hati Belum Tertutup Untuk Kembali Rujuk

“Sebenarnya, saya masih tidak bersedia untuk bercakap apa-apa mengenai perkara ini (hubungan baharu). Pada saya, satu benda yang ingin ditekankan adalah saya masih menghormati bekas isteri,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin berkata dia dan bekas isteri masih berhubungan baik sebagai rakan dan tetap memberi nafkah kepada ibu kepada anak-anaknya itu.

“Bagi memastikan semua benda berada dalam keadaan baik-baik sahaja, kami masih berhubung sehingga sekarang. Saya tetap memberikan nafkah kepada anak-anak dan dia (bekas isteri) kerana kami merupakan kawan baik.

“Insya-Allah, suatu hari nanti saya tetap akan berkongsi mengenai status terkini saya. Sekarang saya tidak bersedia lagi,” katanya.

Selepas 25 tahun mendirikan rumah tanga, bekas isterinya iaitu Datin Maria Christina Orow Abdullah mendedahkan mereka sudah bercerai sejak April tahun lalu.Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Mia Sara, Anaias dan Ileana Matin.

×