Susulan kontroversi wanita menanggalkan baju dan tudung ketika membuat stand up comedy, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Perkara itu mendapat perhatian pelawak dan pengarah, Dato’ Afdlin Shauki yang membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut. Menerusi satu perkongsian di Instagram, Afdlin berkata kontroversi itu berpunca daripada individu dan bukannya kelab komedi tersebut.
Malah, Afdlin turut memembuat perbandingan situasi seorang peserta renang mengambil steroid sehingga terpaksa menutup kolam renang.
“Takkan kita tutup swimming pool (kolam renang) pasal seorang peserta renang ambil steroid? Itu salah perenang, bukannya swimming pool,” tulisnya.
Kata Afdlin lagi, kelab komedi itu merupakan tempat dimana ramai pelawak yang baru berjinak-jinak melakukan komedi solo di depan orang ramai.
“Crackhouse merupakan tempat di mana banyak pelawak komedi solo baru mempelajari seni ini. Open mic dibuka kepada amatur yang ingin mencuba konten mereka di khalayak ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Afdlin mengatakan pelawak komedi solo perlu mempersembahkan komedi mereka di khalayak ramai untuk mengetahui sama ada lawak mereka boleh diterima atau tidak.
“Untuk check content (semak konten) kita baik ke tak, bagi standup komedi, kita kena persembahkan komedi kita di depan orang ramai supaya kita tahu mana yang boleh pakai dan tak boleh pakai. Sama macam atlet yang kena praktis sampai bagus,” jelasnya lagi.
Terdahulu, wanita tersebut mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk Al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya.