Berkongsikan niat untuk menunaikan zakat setiap bulan, bagaimanapun Aeril Zafrel terkilan dengan sikap segelintir masyarakat yang bersangka buruk tentang niatnya itu. Lebih kesal apabila ada yang menuduh perkongsiannya itu sengaja menunjuk-nunjuk.
Menurut Aeril, netizen tidak seharusnya menjadi punca dalam menyebarkan kebencian jika tidak mampu untuk mendoakan dirinya. Kata Aeril lagi, soal niat seseorang itu hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
BACA: Aeril Zafrel Nekad Istiqamah Tunai Zakat Setiap Bulan
“Hari itu saya ada buat hantaran di Instagram mengenai niat saya untuk membayar zakat setiap bulan serta mengajak dan mengingatkan kepada mereka yang berniaga untuk melakukan ibadat wajib ini.
“Jika kita tidak mampu untuk mendoakan, jangan kita menjadi asbab menyebarkan kebencian. Niat itu urusan hati, hati itu urusan Ilahi,” tulisnya.
Menerusi perkongsian di Instagram itu, Aeril turut memuat naik komen negatif netizen yang menuduh pelakon itu melakukannya untuk ‘marketing’ dan menunjuk-nunjuk. Tidak kurang juga ada yang mengatakan Aeril tidak ikhlas dalam melakukan ibadah.
Terdahulu, Aeril ada berkongsikan foto di pejabat zakat bagi menunaikan rukun Islam kelima itu. Sebelum ini dia hanya membayar zakat setahun sekali, namun kini dia nekad untuk menunaikan zakat sebulan sekali untuk zakat perniagaannya.
Dalam pada itu, Aeril turut meminta netizen untuk mendoakan supaya dia terus istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab itu.