Harith Iskander Menghadap Sultan Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menerima menghadap Harith Iskander pada Isnin lalu setelah pelawak, pelakon dan pengacara itu berjaya merangkul kejuaraan dalam pertandingan Funniest Person In The World pada 8 Disember lalu.

BACA: Harith Iskander Perjelas Isu Bangsa Johor

“Tuanku dan TMJ meluangkan masa untuk berbual dengan kami dan turut berkenan menjemput kami duduk makan bersama. Sebagai Anak Johor, semestinya detik ini merupakan paling membanggakan dalam hidup saya setakat ini. Daulat Tuanku,” kata Harith di Instagram.

Melalui kenyataan dalam laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Harith yang ditemani isterinya, Dr Jezamine Lim, tiba di Istana Pasir Pelangi, di sini, tengah hari Isnin untuk menghadap Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Harith juga turut membawa trofi kemenangan beliau dan mengambil peluang bergambar bersama Sultan Ibrahim sambil ditemani Jezamine dan Tunku Ismail. Selain itu, pelawak tersebut juga meluahkan rasa terima kasih kepada Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail.

Kemenangan Harith dalam pertandingan Funniest Person In The World melayakkan dirinya membawa pulang hadiah wang tunai RM440,000 dan berpeluang mengadakan siri jelajah di Amerika Syarikat (AS). (rtky/s)

×