Walaupun perayaan Halloween bukanlah budaya kita, ada sebab untuk anda teruja dengan filem yang bakal ditayangkan bersempena dengan sambutan itu. The Book of Life akan ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 16 Oktober ini, serentak dengan Hollywood.
Mengisahkan perjalanan Manolo, seorang pemuda yang berbelah bagai antara memenuhi impian keluarga atau mengikut kata hatinya dalam kehidupan. Sebelum memilih jalan mana yang harus dilalui selepas ini, beliau memulakan satu pengembaraan yang luar biasa menjangkau tiga dunia fantasi di mana beliau harus berhadapan dengan ketakutan yang ada pada dirinya.
The Book of Life secara asasnya berkisar pada kisah Manolo (yang disuarakan oleh Diego Luna) & Maria (Zoe Saldana) dan juga Joaquin (Channing Tatum) yang mana mereka bertiga terjebak dalam cinta tiga segi (?) untuk kedua dua jejaka itu memenangi hati Maria.
Kisah cinta tiga segi ini yang merupakan sebahagian dari cerita berjaya dipersembahkan oleh Guillermo del Toro dan pengarahnya, Jorge Gutierrez dengan cekap dan penuh kehangatan lebih lebih lagi dengan vokal Zoe Saldana & Channing Tatum yang turut membantu. Watak Maria dalam filem animasi ini juga ditonjolkan sebaga seorang yang boleh berdiri di atas kaki sendiri walaupun cintanya menjadi rebutan Manolo dan Joqauin.
Mungkin kejutan terbesar dalam The Book of Life adalah penggunaan muzik. Banyak lagu muzik pop boleh didengari sepanjang filem ini yang disadur semula dengan perasa Mexico termasuklah lagu I Will Wait (Mumford and Sons), Creep (Radiohead) dan beberapa lagu dari Biz Markie dan juga Rod Stewart. Sesuatu yang segar dalam filem animasi sebegini.
Dalam satu kenyataan kepada media berkaitan filem ini, penerbit Guillermo del Toro pernah kata yang beliau memang mahukan sebuah filem animasi yang lari jauh dari norma grafik biasa seperti kebanyakkan filem di pasaran dan kami rasa The Book of Life merealisasikan perkara itu.
Kalau anda mencari filem animasi positif untuk tontonan sempena Halloween ini, The Book of Life satu pilihan bijak. Berbaloi untuk anda selami dunia imaginasi del Toro & Jorge Gutierrez.