Menang Di ABPBH 2013, Shah Iskandar Mahu Bawa Ibu Tinggal Di Kuala Lumpur

“Saya antara calon calon yang tidak menjangkakan kemenangan sementelah kena bertanding dengan nama nama besar seperti Adi Putra, Johan As’ari,” itu kata kata pemenang Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH 2013, Shah Iskandar di Putrajaya, Sabtu lalu.

Menganggap diri terlalu kerdil namun berkat kerja keras, doa ibu yang jauh di Singapura dan juga sokongan peminat menjadikan kemenangan ini amat bermakna buatnya.

Jika di Singapura, dia lebih dikenali sebagai seorang pengacara dan meletakkan sasaran yang tinggi untuk dikenali sebagai seorang pelakon di Malaysia. Dia mahu dirinya dikenali dengan dua bidang yang berbeza di dua negara. Dan untuk itu, dia menjadikan Datuk Rahim Razali sebagai cermin untuknya pada masa 50 tahun akan datang.

BACA: Gaya Selebriti Di Karpet Merah Anugerah Bintang Popular BH 2013

Sejurus nama diumum sebagai pemenang, dia terus menghubungi ibunya yang menonton dari Singapura. Sebetulnya pada ABPBH 2012, Shah datang bersama ibunya namun kali ini ibunya tidak dapat datang kerana bekerja. Namun dia berjanji untuk bercuti lebih lama bersama ibunya selepas menerima kemenangan malam tadi dan berharap dapat membawa ibunya, Haliza Yusof untuk tinggal bersama di Kuala Lumpur.

“Saya bersyukur mak saya walaupun ibu tunggal, dia tetap bekerja keras dan sentiasa doakan saya dari jauh. Sepatutnya mak saya datang tetapi selepas ditunda, dia tak boleh datang sebab tiada cuti. Saya mahu dia ada melihat saya naik pentas”

Tinggalkan Negara, Keluarga Demi Kerjaya

Untuk berjaya di Malaysia, Shah Iskandar terpaksa berkorban segalanya sehingga terpaksa meninggalkan keluarga di Singapura. Terlalu besar baginya untuk meletakkan namanya sebaris Aaron Aziz, Dan untuk itu dia meletakkan sasaran 4 ke 5 tahun dari sekarang namun semestinya perlu menggandakan usaha.

“Kerjaya di Singapura saya tinggalkan semua. Saya tumpukan lakonan di sini (Malaysia). Tak boleh berulang alik. Pertama, penat untuk saya sekaligus menjejaskan kualiti lakonan saya. Biarlah saya tumpukan pada satu negara sahaja dahulu”

“Saya nak asah bakat sampai kadi macam Datuk Rahim Razali. InsyaAllah 50 tahun akan datang saya akan jadi seperti dia. Saya mahu perjuangkan seni. Dan untuk berjaya, kita perlu ada identiti sendiri,” ujar Shah Iskandar penuh harapan. (rtky/bsr)

×