Tangguh Haji, Umrah Untuk Mengundi: Kenyataan Hadi Mengelirukan

Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi melontarkan kenyataan yang mencuit sensitiviti umat Islam apabila mencadangkan ibadah haji dan umrah boleh ditangguhkan demi menyertai pilihan raya.

Presiden PAS itu dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada Ahad, berkata tindakan itu adalah perlu untuk memberi keutamaan kepada kemenangan politik.

Beliau berkata, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa.

Namun kata Abdul Hadi, umat Islam pada masa ini lebih memilih untuk menunaikan haji dan umrah berbanding kemenangan politik.

Sementara itu pendakwah bebas, Ustaz Azlan Zainal menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai mengelirukan umat Islam.

“Membebankan pengundi yang mendapat tawaran haji dan menunaikan umrah agar tidak mengerjakannya adalah kenyataan keliru.

“Haji itu ibadah wajib, ia adalah rukun utama malah mendapatkan slot tawaran haji itu susah manakala mengumpulkan harta serta menepati kemampuan itu sukar,” katanya.

Azlan Zainal

Kenyataan Presiden PAS itu kini diteliti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan autoriti berkaitan.

Menurut JAKIM, tindakan itu bagi memastikan masyarakat Islam benar-benar memahami kedudukan ibadah haji dan mengikut panduan syarak serta tidak terpesong dengan tafsiran yang mengelirukan.

Mengulas lanjut Azlan berkata, memberi definisi ‘kemenangan Islam’ pada satu pihak tertentu dengan menghakmilikkan istilah, bukanlah sebuah ideologi perjuangan Islam hakiki.

Politik adalah soal pilihan, bukanlah untuk memilih agama, tegasnya.

Katanya, dalam konteks negara majmuk dan demokrasi, berlawan atau bertembung sesama Islam tidak dikira bermusuh, cuma memilih yang terbaik agar mampu memberi khidmat yang lebih ampuh.

“Sesetengah pihak hanya menganggap mereka sahaja yang perjuangkan Islam sehingga menafikan kelompok lain.

“Ada yang memperalatkan istilah, hukum, dalil dengan maksud baik hanya terpakai kepada mereka dan yang buruk untuk menghunjam lawannya.

“Jika salah seorang Islam dalam kalangan calon terpilih, ia tetap seorang Islam, bukan sebaliknya. Adakah Islam kalah? Ini terlalu simplistik,” katanya.

Untuk rekod, PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan dua daripada calon bergelar Ustaz iaitu Dr Mohamad Yusri Bakir (BN) dan Abdul Muhaimin Malek (PN).

Azlan menambah, berparti tak salah tetapi disebabkan parti, mutakhir ini Islam dipandang sebaliknya atas banyak sikap atau pendirian yang tidak selari dengan kehendak agama.

“Sedangkan parti hanya alat untuk menyebarkan mesej Islam yang syumul,” tegasnya.

Seorang lagi pendakwah bebas, Ustaz Halim Hafidz menjelaskan keperluan menangguhkan haji dan umrah bagi menyertai proses mengundi tidak boleh dipukul sama rata kerana ia bergantung kepada situasi.

Hal ini kerana terdapat perbezaan antara kewajipan haji dan umrah buat kali pertama dengan yang kedua, katanya.

Halim Hafidz

“Pilihan raya ini, ada orang anggap sebagai satu jihad dan perjuangan. Kalau bertembung dengan musim haji, mana yang perlu diutamakan?

“Kalau haji kali pertama, keutamaan adalah kepada ibadah haji kerana ia adalah kewajipan yang bersifat rukun.

“Sedangkan kemenangan pilihan raya atau ‘kemenangan perang’ itu adalah kewajipan bersifat bukan rukun. Statusnya lebih rendah sikit,” katanya.

Halim yang juga Pengarah Mantop Travel & Tours Sdn. Bhd. berkata, hukum ibadah umrah juga sama iaitu kali pertama wajib dan kali kedua sunat.

“Dalam Rukun Islam Kelima, ada ulama kata menunaikan haji dan umrah dan ada yang kata menunaikan haji sahaja.

“Tetapi majoriti ulama kata umrah kali pertama wajib, kali kedua dah tak wajib,” katanya yang menganggap isu memilih antara pilihan raya atau haji sebagai kitar semula menjelang musim haji.

×