Tindakan tegas kerajaan menyekat konten sensitif khususnya isu kaum, agama dan institusi raja (3R) dan memanggil individu yang memuat naiknya ke media sosial untuk diambil keterangan adalah tepat untuk mempertahankan keharmonian masyarakat yang menjadi teras kemajuan negara.

Pun begitu, kerajaan perlu bijak menguruskan persepsi kononnya tindakan tegas itu dibuat secara terpilih dan mensasarkan kelompok tertentu.

Beberapa usahawan belia yang ditemui Rotikaya berpendapat dalam landskap media sosial yang semakin kompleks, orang ramai perlu mengamalkan kawalan kendiri dan tidak menjadikan media sosial seperti kedai kopi.

Kata mereka, tindakan kerajaan pula tidak boleh hanya adil bahkan perlu dilihat adil di mata rakyat.

Tukang jahit alteration, Saiful Basir Hasan berkata, beliau secara peribadi mengamalkan kaedah kawalan kendiri ‘Peraturan 10 Saat’ bagi mengelakkan terbabas di media sosial.

Katanya, sikap tegesa-gesa memuat naik status, komen atau konten perlu dijauhi bagi mengelakkan diri sendiri berdepan masalah.

Saiful Basir Hasan

“Apabila nak buat status, komen atau upload konten, saya bertenang 10 saat dan fikir sama ada ia sesuai atau tidak dan apa kesannya. Banyak juga yang saya tak upload walaupun sudah siap ditulis, tunggu nak tekan butang Enter sahaja.

“Apabila kita fikir balik walaupun cuma dalam masa singkat, kita jadi lebih ‘waras’ dan tak terbuai dengan emosi.

“Jangan sampai jari yang menaip itu lebih laju daripada otak, bertenang, tarik nafas dan kalau sesuai baru tekan Enter. Media sosial ini untuk seronok-seronok, jangan peningkan kepala sendiri sampai naik tekanan darah,” katanya.

Sementara itu, pengusaha kedai makan, Wan Muhammad Almizan Wan Azmi berpendapat tidak semua perkara sesuai diperkatakan atau dijadikan modal perbahasan di media sosial.

Katanya, media sosial bukanlah kedai kopi di mana sesiapa sahaja lebih bebas bercakap kerana ruang lingkupnya yang terhad.

Wan Muhammad Almizan Wan Azmi

“Walaupun kedai makan saya ini di kawasan kampung, topik perbincangan pelanggan tak kurang hebatnya, ada masa santai dan ada masanya macam sidang Parlimen.

“Walau sepanas mana pun perbincangan, ia hanya dengan kawan-kawan semeja yang biasanya kita dah lama kenal dan habis di situ sahaja.

“Berbeza dengan media sosial, kita pun tak tahu siapa dan berapa ramai yang baca pandangan dan komen itu, mungkin ratusan ribu atau juta apabila FYP. Kesannya lebih besar, maka berpada-padalah dalam isu sensitif terutama 3R,” tegasnya.

Pengusaha pusat servis pendingin hawa kereta, Hamizan Mahadi pula berkata, tindakan tegas kerajaan dalam isu konten sensitif amat dialu-alukan kerana ia mengundang risiko besar kepada masa depan negara.

Apatahlagi katanya, segala tindakan itu dibuat berpandukan peruntukan undang-undang yang ‘diluluskan oleh rakyat melalui Parlimen’, bukannya semberono mengikut selera kerajaan semasa.

Sebagai warganegara pula, semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama terikat kepada Perlembagaan dan undang-undang negara, katanya.

Hamizan Mahadi

“Cuma, tindakan yang diambil bukan sahaja perlu adil bahkan dilihat adil oleh rakyat.

“Kita kena akui ada sentimen dalam kalangan rakyat kononnya tindakan pihak berkuasa berbeza-beza seperti pilih kasih.

“Keras kepada kepada kelompok tertentu dan lunak kepada kelompok lagi satu. Sentimen ini sangat bahaya.

“Persepsi sebegini perlu diuruskan oleh kerajaan dengan baik ibarat menarik rambut dalam tepung,” jelasnya.

×