Tindakan segera dan jaminan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk bertindak tegas tanpa kompromi dalam isu ilustrasi Jalur Gemilang tidak cukup sifat oleh akhbar Sin Chew Daily diharap dapat meredakan keresahan rakyat.
Komitmen sedemikian amat penting apabila sebuah lagi syarikat akhbar iaitu Kwong Wah Yit Poh turut menyiarkan ilustrasi serupa.
Presiden Majis Gabungan Belia Kelantan (MGBK), Mohd. Syahiran Muhammad berkata pihaknya amat pelik kenapa sebuah akhbar berpengalaman boleh membuat kesalahan amatur.
Walhal tegasnya, pengetahuan tentang bendera yang menjadi lambang kedaulatan negara adalah perkara asas kepada semua rakyat Malaysia.

Mohd. Syahiran Muhammad
“Apabila KDN menyatakan komitmen untuk siasat perkara ini dengan telus, kami harap ia dapat meredakan keresahan rakyat.
“Isu ini menuntut tindakan tegas KDN dan kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan tuntas,” katanya kepada Rotikaya.
Mengulas lanjut, Mohd. Syahiran berkata insiden sensitif itu perlu disiasat secara terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar.
Perkara sedemikian katanya, tidak boleh dibenarkan berulang kerana akan menyebabkan kepemimpinan kerajaan terpalit dengan persepsi negatif.
Lebih membimbangkan, ia membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengeruhkan keadaan demi kepentingan sempit mereka.
“Perkara sebegini jika dibiarkan akan memberi kesan kepada kerajaan semasa kononnya tidak menjaga semangat kenegaran dalam kalangan rakyat.
“Kami menyeru agar rakyat terus kekalkan keharmonian perpaduan, tidak menimbulkan provokasi dan tidak mendengar hasutan daripada pihak yang cuba meniupkan sentimen perkauman,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Syahiran mencadangkan pihak berkaitan agar terus menggiatkan usaha menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat berbilang bangsa demi masa depan negara.
KDN telah memulakan siasatan serta-merta dengan memanggil wakil Sin Chew Daily dan surat tunjuk sebab juga telah diserahkan pada Rabu.
Siasatan dibuat di bawah dua akta iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
Ia berada dalam bidang kuasa KDN memandangkan kesalahan adalah besifat medium percetakan.
“KDN tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan,” kata kenyataan KDN.
Dalam isu melibatkan Kwong Wah Yit Poh pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil pengurusannya bagi memberi penjelasan berhubung muat naik ilustrasi Jalur gemilang tidak lengkap melalui akaun Facebook rasminya.
Siasatan sedang dijalankan MCMC di bawah bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233 memandangkan kesalahan adalah melibatkan kandungan yang dimuat naik secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan, sekiranya perlu dan berkaitan,” kata MCMC dalam kenyataan.