Perbuatan pengguna media sosial yang menggunakan takbir raya untuk mempersendakan seseorang adalah perbuatan yang sangat melampaui batas.
Ini kerana takbir raya adalah syiar Islam yang menjadi lambang keinsafan dan pengagungan kepada Allah SWT.
Pendakwah bebas, Ustaz Halim Hafidz menegaskan, perbuatan sedemikian terang-terangan menghina Islam kerana takbir raya adalah kalimah yang memuji kebesaran Allah, bukannya seperti lirik Negaraku atau syair-syair biasa.
“Katakanlah jika junjungan besar kita masih hidup, beranikah dia buat (troll guna takbir raya) depan Nabi Muhammad SAW?
“Orang macam ini kita tak boleh bagi fakta sangat, kita kena jawab ‘troll’ balik kepada dia.
“Agak-agak kau, Nabi ‘happy’ tak dengan tindakan kau? Kalau dia rasa Nabi ‘happy,” dia boleh teruskan,” katanya kepada Rotikaya.

Halim Hafidz
Baru-baru ini tersebar di media sosial beberapa video yang menggunakan rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah disunting dan dijadikan bahan ‘troll’.
Mengulas lanjut, Halim berkata pihak yang mempermainkan takbir raya itu perlu menginsafi bahawa tindakan mereka sebenarnya bukanlah menghina Perdana Menteri tetapi Nabi Muhammad SAW.
Katanya, takbir raya adalah perkara yang diajar oleh Baginda sendiri kepada umatnya dan sesiapa yang bertakbir hatta orang tidak siuman sekalipun tidak boleh dipersendakan.
“Kalau setakat nak troll PMX kita boleh terima, tapi kalau nak troll guna takbir, ini satu syiar Islam, benda yang dilakukan Nabi. Perbuatan sebegini betul-betul dimurkai Allah.
“Janganlah kerana bencikan seseorang, sampai hilang pedoman, sampai sanggup mencaci benda yang jauh lebih berat,” katanya.

Takbir raya adalah syiar Islam yang melambangkan keinsafan dan pengagungan kepada Allah
Sehubungan itu Halim menasihatkan pengguna media sosial supaya sentiasa membuat pertimbangan dosa dan pahala apabila memuat naik kandungan, membuat ulasan atau perkongsian.
“Semua orang terlibat termasuk yang ‘like’ pun ada pengaliran (saham akhirat).
“Sebagaimana termaktub dalam ayat 7 dan 8 Surah al-Zalzalah yang bermaksud: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).
“Jadi fikir-fikirkanlah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Halim memahami perbuatan berkenaan didorong oleh perbezaan pandangan yang sebenarnya dibenarkan oleh Islam selagi berlandaskan adab-adab.
Malah katanya, Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabatnya juga pernah berbeza pandangan.
Tegasnya, apa yang penting ialah ia mesti bersandarkan ilmu dan saling hormat menghormati.
“Apabila perdebatan dibuat atas dasar emosi, perdebatan itu akan lari dari roh sebenar. Syaitan akan masuk campur untuk merosakkan hubungan sesama manusia.
“Berbeza pandangan itu sebenarnya boleh mendatangkan kebaikan dan pahala untuk kita. Sedangkan Nabi dan sahabat pun berbeza pandangan.
“Tetapi mereka berbeza pandangan dan mereka dapat pahala (kerana didasari ilmu), sedangkan kita berbeza pandangan kita dapat dosa pula,” katanya.