Yusof Haslam Nasihat Syamsul Cari Pasangan Hidup

Penerbit Datuk Yusof Haslam menasihatkan anaknya yang juga pengarah terkenal Syamsul Yusof untuk mencari pasangan hidup serta tidak  terus hidup bersendirian selepas berdepan dua perceraian.

Memetik Harian Metro, Yusof turut berpesan kepada anaknya itu untuk membina hidup namun Syamsul berkata dia memilih untuk kekal solo buat sementara waktu.

“Tiada makna cari duit dan kaya tapi hidup seorang diri. Nanti akan rasa bosan.

“Saya pesan agar bina hidup baru dan jangan hidup seorang diri, tapi dia kata nak kekal solo buat sementara ini. Katanya ‘nantilah papa’ dan nak fokus kerja, dia pun ada dua lagi projek filem lagi.

“Saya nasihat dia cari pasangan kerana hidup ini kalau tiada pasangan, umpama tidak ada makna. Paling penting dalam kehidupan adalah ketenangan dan bukannya kemewahan,” katanya.

Sementara itu, Yusof turut berkongsikan Syamsul kini dilihat semakin bersemangat serta menitipkan doa agar anaknya terus kuat mengharungi hari-hari mendatang.

“Alhamdulillah dia nampak lebih fokus. Saya  melihat proses penggambaran filem Original Gangster yang mengambil masa lama, mungkin disebabkan banyak masalah dalam hidup dia sebelum ini.

“Dia pun saya lihat sudah semakin bersemangat cuma berat badannya sedikit turun dan nampak kurus. Saya pesan pada Syamsul, apa sekalipun dia perlu kuat semangat,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×