Setiap kali hari raya, lagu-lagu lama sering menjadi pilihan ramai untuk membangkitkan lagi suasana hari raya ditambah bait-bait lirik lagu klasik berjiwa malar segar.
Antara lagu raya yang masih diminati ramai sehingga kini adalah sentuhan penyanyi dan komposer terkenal, M Nasir.
BACA: “Mael Tiada Galang Ganti, Letak Mana-Mana Vokalis Gantikan Tempatnya Tak Akan Sama” – M. Nasir
Memetik Utusan Online, M Nasir berkata lagu-lagu raya baru kini sangat catchy dan ada tarikan tersendiri namun kurang melodi.
Tambahnya lagi, lagu raya perlu ada elemen kesyahduan dan dalam masa sama ada unsur kegembiraan pada hari kemenangan itu.
“Lagu-lagu raya baharu kini bagi saya kurang melodi, tetapi sangat catchy, mungkin sedikit bahagian daripada lagu atau seni katanya yang catchy.
“Tetapi kalau kita nyanyikan lagu-lagu raya yang bermelodi, orang kata kita lama. Bagi saya, lagu raya kena ada elemen kesyahduan. Dari segi bunyi kita susah nak cakap, tetapi dari segi bahasa, kesyahduan itu yang saya maksudkan.
“Tetapi lagu raya ini ia bukan untuk bersedih atau syahdu sahaja. Untuk gembira pun iya. Kalau kita ambil contoh daripada lagu-lagu Barat, begitu juga digunakan.
“Deskriptif seni katanya itu melahirkan kesyahduan dan keheningan hari raya,”katanya.
Sementara itu M Nasir tidak menolak lagu raya di Malaysia cenderung bersifat keagamaan tapi dalam masa sama perlu digubah dengan memahami maksud dan pengertian di sebalik perayaan itu sendiri.
Dalam pada itu, lagu raya juga perlu dimasukkan dengan elemen tradisi agar ‘melekat’ di hati pendengar sepanjang zaman.
“Lagu-lagu raya yang bersifat moden atau tiada nilai kesyah-duan itu, saya pun tak dapat nak katakan adakah ia boleh bertahan lama sebagaimana lagu raya zaman dahulu.
“Mungkin untuk beberapa tahun, ia mampu bertahan. Tetapi saya pun tidak boleh jangka,”katanya.
SUMBER: Utusan