Pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam teruja untuk meraikan Aidilfitri bersama anaknya, Syamsul Yusof selepas beberapa tahun tidak balik.

Memetik Harian Metro, Yusof berkata dia dan isteri, Datin Patimah Ismail meluahkan rasa syukur serta pada usia sekarang mereka hanya mahu meluangkan masa bersama anak-anak dan cucu.

BACA: “Syamsul Akan Call Mohon maaf Kalau Tak Dapat Balik Rumah” – Yusof

“Alhamdulillah raya Aidilfitri tahun ini, Syamsul akan balik beraya dengan kami sekeluarga dan ini adalah peluang kami raya bersama semula selepas beberapa tahun dia (Syamsul) tidak balik.

“Saya dan Datin (Patimah) sangat bersyukur kerana kami satu keluarga sudah bersatu semula, insya Allah. Bahkan, lebih meriah sambutan hari raya apabila semua anak dan cucu berkumpul.

“Apatah lagi, saya pun tahun ini umur dah 70. Jadi, bila ada ruang masa bersama keluarga dengan kegembiraan dan kebahagiaan itu yang diinginkan,” katanya.

Sementara itu, pengarah berusia 70 tahun itu meluahkan rasa syukur hubungan baik Syamsul dan bekas isterinya, Puteri Sarah meskipun sudah bercerai.

“Alhamdulillah, pada Ramadan ini kami sekeluarga juga ada berbuka bersama termasuk Puteri Sarah pun hadir. Begitu juga dengan Syamsul dan besan saya yang lain pun ada.

“Jadi, suasana gembira seperti inilah yang saya mahukan walaupun masing-masing sudah bercerai. Tapi, buatlah hubungan yang ada sekarang seperti kawan. Jangan bermusuh dengan bekas isteri atau suami,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×