Penyanyi wanita Kelantan, Eda Ezrin yang kini ditahan di Penjawa Narathiwat mungkin akan dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini.
Memetik BH Online, sumber memberitahu penyanyi berusia 30 tahun itu dijangka dibebaskan selepas membayar denda yang dikenakan mahkamah.
BACA: Eda Ezrin Minta Buat Solat Hajat Agar Hukuman Diringankan
Sumber yang tidak mahu namanya disiarkan berkata selain Eda Ezrin, empat lagi rakyat Malaysia dijangka dibebaskan esok.
“Mahkamah Wilayah Narathiwat dijadual menjatuhkan hukuman terhadap enam rakyat Malaysia pagi esok kerana didakwa memiliki pil Yaba dan mengambil dadah. Lima daripada mereka termasuk Eda Ezrin berkemungkinan akan didenda kerana mengambil dadah.
“Penyanyi itu dan empat yang lain berdepan hukuman penjara kurang enam bulan dan denda kurang RM1,000 kerana mengambil dadah.
“Memandangkan mereka sudah ditahan di Narathiwat kira-kira empat bulan sejak ditangkap pada 1 November tahun lalu, mahkamah mungkin membebaskan mereka lebih awal sebaik denda dibayar,” kata sumber.
Sumber memberitahu lagi, seorang lagi lelaki warga Malaysia berusia 30an dijangka didakwa kerana memiliki pil Yaba.
“Bagaimanapun, pihak pendakwaan mempunyai hak untuk membantah keputusan itu semasa perbicaraan esok,” kata sumber itu
Nasib Eda bersama suami serta empat rakan mereka akan diketahui hari ini apabila Mahkamah Wilayah Narathiwat menetapkan 6 Mac sebagai tarikh keputusan kes.
SUMBER: BH Online