Pelakon dan pengarah Ellie Suriaty menerima kecaman hebat daripada netizen gara-gara video parodi yang dihasilkan oleh pempengaruh sensasi, Imran Bard.
Memetik mStar Online, Ellie mendedahkan kedua-dua anaknya juga tidak terlepas daripada kecaman netizen sehingga menyebabkan emosi mereka tidak stabil.
BACA: “Imran, Minta Maaf Kepada Ellie Suriaty Dengan Ikhlas & Beradab”
Ellie turut mendedahkan dia turut menjadi mangsa siber buli apabila ramai yang meninggalkan komen di satu video dia meraikan hari jadi anak lelakinya.
“Saya baca komen netizen dan segalanya di dalam itu semuanya negatif, ramai yang mengatakan saya patut berterima kasih kepada Imran kerana menaikkan semula nama saya sebab sudah ‘sendu’ tapi kalau betul kenapa guna nama saya.
“Sekarang ini saja kena siber buli dalam perkongsian video saya meraikan sambutan hari lahir anak lelaki saya, dalam video itu netizen masuk secara ramai-ramai dan buli saya… itu adalah bahagian privasi saya dengan anak-anak.
“Bila mereka (netizen) serang dalam video itu memang sakit untuk saya sebab mereka mengejek, netizen tak faham sebab netizen tak kerja keras selama 30 tahun bina nama bukannya satu yang mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Ellie turut memberitahu anak sulungnya iaitu Azrell Omar cuba menghubungi Imran Bard menerusi aplikasi TikTok namun usahanya tidak berjaya kerana tidak dilayan pempengaruh berkenaan.
“Anak saya ada hubungi dia (Imran) sebab nak tahu apa yang berlaku dan kenapa buat macam tu tapi tidak dibalas mesej tersebut,” katanya.
SUMBER: mStar Online