Pelakon Farid Kamil memaklumkan dia bakal bergelar pelajar apabila bakal menyambung pengajian di ijazah sarjana di Universiti Malaya.
Memetik mStar Online, Farid bagaimanapun enggan mendedahkan kursus yang bakal diambila memandangkan masih dalam proses kemasukan.
BACA: Penyewa Dah Selesaikan Baki Tertunggak, Rumah Farid Kamil Tak Jadi Lelong
“InsyaAllah saya akan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya. Bagaimanapun saya rahsiakan terlebih dahulu kursus yang saya ambil memandangkan masih dalam proses. Jika ada rezeki saya mahu menyambung ke peringkat PhD pula selepas ini,” katanya.
Menurut Farid, dia tergerak hati untuk menyambung pelajaran selepas pertemuan dengan 100 alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan berasa rendah diri apabila rata-rata alumni memiliki tahap pengajian sekurangnya ijazah sarjana.
“Balik dari majlis itu saya rasa seperti sudah ketinggalan memandangkan alumni yang hadir rata-rata ada maser, PhD. Saya saja yang hanya ada ijazah sarjana muda sahaja,” katanya.
Untuk rekod, Farid pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Seni Layar) UiTM pada 2010. Farid turut menamatkan pengajian Seni Lakon Teater diploma di universiti sama.
Dalam pada itu, Farid mendedahkan dia ada menerima tawaran sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta namun menolaknya kerana merasakan ilmunya sebagai pelakon dan pengarah belum cukup baik.
“Selagi belum ada PhD, saya tak rasa apa yang saya ajarkan nanti menjadi satu pelajaran yang efektif kepada pelajar,” katanya.
SUMBER: Harian Metro, mStar Online