Pusat Mediasi Komuniti Putrajaya hari ini dirasmikan sebagai tempat untuk orang ramai menyelesaikan isu atau konflik kecil dengan jiran secara aman dan damai.
Dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam, pusat ini menyediakan ruang alternatif bagi mereka yang berdepan isu kejiranan tanpa perlu melalui proses mahkamah atau melibatkan pihak berkuasa.
Isu seperti ini kerap terjadi kawasan perumahan seperti pangsapuri atau kondominium, antara masalah yang sering dihadapi seperti isu perebutan tempat letak kereta, penggunaan lif, dan kebersihan kawasan bersama. Namun, ia boleh membawa kepada konflik besar jika tidak ditangani dengan baik.
Jadi, Pusat Mediasi memainkan peranan penting dengan menyediakan mediator (wakil) terlatih yang bertindak sebagai pihak berkecuali. Di sinilah, Pusat Mediasi Komuniti bakal memainkan peranan menyediakan ruang untuk semua pihak duduk berbincang secara aman dan mencari penyelesaian yang adil dengan bantuan pihak ketiga.
Menurut, Datuk Seri Hasnol Zam Zam seramai 33 orang mediator kini sudah bersedia untuk menawarkan perkhidmatan secara percuma. Mereka ini adalah individu yang terlatih untuk membantu kedua-dua belah pihak mencapai penyelesaian yang memuaskan, tanpa perlu campur tangan undang-undang yang rumit.
Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah membantu membina persefahaman dan saling hormat-menghormati antara anggota komuniti.
Dengan adanya pusat seperti ini, isu-isu kecil dalam kalangan jiran tetangga dapat diselesaikan dengan lebih cepat, dan secara tidak langsung mengurangkan beban pihak seperti polis.
Selain itu, pusat ini juga menyediakan sokongan sosial dan emosi untuk mereka yang sedang menghadapi konflik, menjadikan ia ruang kondusif untuk mencapai kesepakatan.
Malaysia kini sudah mempunyai lapan pusat mediasi yang beroperasi, dan konsep ini dijangka akan diperluaskan lagi ke seluruh negara.
Pusat Mediasi Komuniti Putrajaya ini adalah satu langkah ke arah masyarakat yang lebih harmoni dan penuh persefahaman, di mana masalah kecil tidak lagi menjadi punca perbalahan besar, tetapi peluang untuk mencapai kesepakatan.