Lancar Lagu Hari Ini Kerana Tarikh Istimewa – FAZURA Studios

Umum mengetahui lagu baharu duet antara Nur Fazura dan Fattah Amin berjudul Bertahan Demi Cinta telah dilancarkan pada hari ini dan perkara itu disahkan Fazura Studios dan syarikat label HITS Record.

Dalam satu kenyataan rasmi Fazura Studios, lagu itu ditulis oleh komposer terkenal, Ippo Hafiz telah dirakamkan di Jakarta, Indonesia pada Januari lalu.

BACA: Fattah, Fazura Bakal Lancar Lagu ‘Bertahan Demi Cinta’

Malah, pengambaran video muzik lagu itu telah selesai dilakukan pada Februari lalu di Yogyakarta, Indonesia dan dijadikan runut bunyi drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella 2 yang ditayangkan 17 Mac lalu.

“Tarikh rasmi lagu ini telah diputuskan secara bersama pada beberapa bulan yang lalu oleh FAZURA Studios dan HITS Record kerana keistimewaan tarikh 10 Oktober 2024.

“Ini juga selaras dengan pendekatan bersama yang diambil oleh kedua-dua syarikat semasa peluncuran lagu berjudul Tenang Diri nyanyian Ippo Hafiz pada tarikh istimewa 9 September 2024 yang lalu.

“Perancangan pelancaran kedua-dua lagu ini telah dibuat pada beberapa bulan yang lepas atas keperluan kerjasama dan persediaan awal termasuk di platform digital terkemuka,” tulis kenyataan itu.

Dalam pada itu, FAZURA Studios memaklumkan pelancaran lagu itu tiada kaitan dengan urusan peribadi Nur Fazura dan kenyataan pengurus Fazura baru-baru ini adalah pendapat peribadinya.

“Kami juga tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak selain menegaskan bahawa kenyataan dikeluarkan oleh pengurus kepada Nur Fazura berhubung pemilihan tarikh pelancaranlagu ini yang telah dilaporkan media tempatan sebelum ini adalah pendapat peribadinya semata-mata.

“Ia tidak mewakili syarikat FAZURA Studios dan HITS Record. Kedua-dua syarikat juga berpegang kepada perancangan yang telah dibuat lebih awal sebelum ini, yang mana tiada sebarang penglibatan oleh pengurus kepada Nur Fazura,”katanya.

SUMBER: Utusan Online

×