Pelakon Alif Satar menegaskan tidak sebarang sentuhan berlaku antaranya dengan dua pelakon wanita, Sophia Albarakbah dan Nelissa Nizam ketika merakamkan video promosi filem terbaharu Reeza GTR.
Memetik BH Online, Alif berkata dia tahu batas yang perlu diaga ketika bersama wanita bukan mahram malah dua pelakon itu juga tahu mengenai ‘pantang larang’ ditetapkannya.
BACA: Alif Satar Tak Peduli Komen Negatif Kempen Subuh Berjemaah
“Saya sudah tahu apa batasan dan pelakon wanita itu juga tahu batas. Mereka tahu perlu jarakkan diri walaupun saya tak suruh. Tapi pasukan pemasaran mungkin ada cara lebih baik untuk mempromosikannya,” katanya.
Menurut Alif lagi, video tarian bersama Sophia dan Nelissa itu dilakukan adalah permintaan pasukan pemasaran filem berkenaan.
Susulan tindakannya itu ada yang beranggapan ianya tidak selari dengan kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ digerakkan sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, Alif berkata tidak perlu mengaitkan tindakannya dengan kempen berkenaan kerana tiada manusia yang sempur dan pasti akan melakukan kesilapan.
“Kalau orang kaitkan dengan kempen Geng Subuh Macam Jumaat, itu memang tanggungjawab sebagai Muslim dan saya bangun pagi memang akan solat subuh. Saya tak cakap bila buat kempen ini maka akan terlepas daripada kesilapan. Saya tak boleh anggap begitu.
“Tapi, secara peribadi, saya tahu batas perlu dijaga. Kalau tengok betul-betul video, memang tak bersentuhan dan jarak antara kami jauh. Jadi, terpulang kepada mereka dengan pendapat masing-masing,” katanya.
SUMBER: BH Online