SIBU, 9 SEPTEMBER 2024 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Ruang Daya Cipta di Sibu, Sarawak, sebagai usaha untuk memupuk nilai Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam kalangan komuniti terutamanya di kawasan luar bandar.

Ruang Daya Cipta atau RDC merupakan inisiatif MOSTI yang dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), bertujuan memberi akses kepada komuniti di Malaysia terhadap kemudahan dan peralatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara lebih dekat dan mudah dicapai.

Setakat ini, YIM telah berjaya membangunkan sebanyak 17 buah RDC di seluruh Malaysia, termasuk tiga (3) buah di Sabah dan Johor, dua (2) di Perak, Pahang, dan Sarawak, serta masing-masing satu (1) di Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Selangor.

RDC Sibu, yang telah siap sepenuhnya pada 6 Disember 2023, dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan teknologi STIE, seperti komputer, mesin percetakan 3D, set studio digital dan lain-lain fasiliti berasaskan teknologi terkini untuk manfaat komuniti setempat.

Majlis perasmian hari ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim. Majlis ini bertujuan memperkenalkan salah satu inisiatif MOSTI dalam memperkasakan STIE melalui sebuah hab ruang cipta sains, teknologi dan inovasi dengan sasaran penglibatan seramai 300 orang peserta dari kalangan komuniti khususnya di sekitar Sibu.

Untuk makluman, laman sesawang RDC ini boleh diakses secara maya melalui Sistem Ruang Daya Cipta Administration Management (RAMs) di pautan www.rdc.yim.my untuk mengetahui aktiviti kelas pembelajaran terkini dan program-program yang bakal berlangsung.

Melalui latihan dan pembangunan kapasiti yang dijalankan di RDC, setiap peserta atau pengguna dapat menggunakan teknologi untuk menjana pendapatan berasaskan 10-10 STIE Ecosystem (Subscription Business Match and Sharing/Network Economy). Pendekatan ini diharap dapat membangunkan usahawan dari kalangan B40 dan luar bandar dengan menekankan konsep inovasi yang berimpak tinggi.

Selain itu, komuniti juga turut berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti inovasi yang menggunakan teknologi sedia ada, seperti pencetak 3D, robotik, dron dan peralatan lain secara praktikal. Hal ini secara langsung dapat meningkatkan kualiti hidup, produktiviti, serta ekonomi komuniti melalui penghasilan idea dan kreativiti yang boleh dipasarkan.

Secara keseluruhannya, RDC menyumbang kepada pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang 2030. Setakat Ogos 2024, RDC Sibu telah menerima kehadiran lebih daripada 500 pengunjung dari komuniti setempat, dengan seramai 203 peserta telah menyertai 21 modul latihan sejak mula beroperasi.

Majlis perasmian ini turut menyaksikan penyerahan sijil Social Technopreneurs Enrichment Program (STEP) kepada penerima manfaat. STEP merupakan inisiatif di bawah Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan (PPISK) yang diteraju oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang diperkenalkan oleh MOSTI membuktikan komitmen Kerajaan dalam memanfaat, mengguna dan memajukan sains, teknologi dan inovasi ke arah pertumbuhan sosio-ekonomi negara.

MOSTI telah melantik YIM sebagai agensi pelaksana bagi Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS) untuk memperkasa inovasi di peringkat akar umbi dengan memberi sokongan kepada produk-produk yang dihasilkan oleh individu atau berkumpulan yang berpotensi untuk dikomersialkan, di samping memberi manfaat kepada masyarakat melalui teknologi yang dibangunkan.

Sebagai sebahagian daripada program pendanaan di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), inisiatif ini merupakan rantaian nilai tambah kepada program sedia ada iaitu program MyIS Akar Umbi (MaGRIs), program MyIS Komuniti, dan program Inclusive SME Ecosystem (i-SEE).

Ketiga-tiga program ini bertujuan untuk memacu perkembangan inovasi di peringkat akar umbi dan sosial, dengan menyediakan sokongan kewangan dan bukan kewangan yang diperlukan untuk meningkatkan inovasi tersebut bermula pada Technology Readiness Level (TRL) 3 sehingga ke tahap pengkomersialan.

Melalui sokongan menyeluruh ini, YIM dapat memberi peluang kepada inovator untuk membangunkan inovasi mereka seterusnya membantu menyelesaikan masalah dalam komuniti dengan strategi Quick Impact and Fast Deployment.

Sebagai langkah berterusan, YIM melaksanakan pendekatan yang menghubungkan Usahawan Tekno dengan komuniti mereka yang mana Usahawan Tekno berperanan sebagai agen sosial dalam memainkan peranan penting menyampaikan penyelesaian inovatif kepada masyarakat yang juga merupakan penerima manfaat Inisiatif STEP.

Program ini diharap dapat menyediakan persaingan yang adil bagi perniagaan berimpak sosial, selain membuka peluang kepada usahawan sosial untuk mempertingkatkan penyelesaian inovatif mereka.

×