“Kamu Pendakwah, Perbuatan Itu Tidak Dapat Diterima Akal” – Hakim

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini memutuskan tindakan Da’i Syed sebagai seorang pendakwah, merogol seorang wanita merupakan suatu yang tidak dapat diterima akal secara munasabah.

Memetik Harian Metro, Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke Syed atas tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun, lima tahun lalu.

BACA: Da’i Syed Dipenjara 10 Tahun, 3 Sebatan Kerana Merogol

Mahkamah mengambil kira peranan yang sering dimainkan oleh tertuduh dalam memberikan ceramah agama dan motivasi. 

“Pastinya mangsa mengalami trauma kerana perlu kumpulkan kekuatan untuk tampil membuat laporan dan melalui setiap proses perundangan yang panjang dan bukan mudah, kejadian ini akan terus berada dalam ingatan mangsa hingga akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, Norazlin berkata mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.

“Pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya berlaku.

“Pihak pendakwaan membuktikan bahawa tertuduh adalah orang yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa pergi ke rumahnya.

“Selain itu, mangsa yang lemah dan lurus bendul dibuktikan tidak boleh membuat keputusan serta melawan tertuduh ketika kejadian,” katanya.

×