Penyanyi Datuk Zainal Abidin mengaku ada mendengar khabar angin bahawa anak perempuannya, Timur Gabriel sudah mendirikan rumah tangga.
Menerusi temu bual bersama Melodi, Zainal berkata dia tidak tahu mengenai kebenaran khabar angin itu kerana dia dan anaknya itu tidak lagi berhubung.
BACA: Zainal Abidin Dedah Berebut Lagu Dengan Celine Dion
“Hubungan kami tidak dapat dieratkan kerana dia duduk jauh dari saya, menetap di Jerman. Saya tidak diberikan masa dan peluang untuk berjumpa dengan anak-anak saya.
“Anak perempuan saya yang Timur itu pun tak pasti sama ada sudah bernikah atau belum. Saya dengar desas-desus dia sudah bernikah. Tetapi seharusnya kalau nak bernikah, kena jemput saya sebagai bapanya. Saya adalah walinya,” katanya.
Sementara itu, Zainal berkata dia tidak pernah memutuskan hubungan dengan mereka dan tidak ada guna berusaha untk berdamai kerana perkara itu tidak akan berlaku.
“Saya tidak pernah memutuskan hubungan, tetapi apabila ada sesuatu pihak ingin memutus maka terpulanglah. Jumpa di akhirat nanti.
“Kalau berusaha sedaya upaya untuk berdamai pun saya rasa itu tidak akan berlaku. Saya hanya mengharapkan terbaik. Saya selalu mendoakan anak-anak, sembahyang lima waktu sehari sentiasa doakan yang terbaik,” katanya.
Zainal pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas isterinya Natasha Gabriel. Pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata Timur Gabriel dan seorang lagi anak lelaki.