“Isteri Sanggup Hamil Lagi, Saya Okey” – Jamal Abdillah

Penyanyi Datuk Jamal Abdillah berkata dia enggan melayan kata-kata negatif netizen dan dikatakan tidak prihatin terhadap kesihatan isterinya berikutan jarak hamil terlalu dekat.

Memetik Kosmo, Jamal berkata anak adalah kurniaan Tuhan selain mengikut keupayaan isterinya Datin Zai Izzati Khiruddin kini berusia 28 tahun untuk hamil lagi. Bulan lalu, Jamal memaklumkan dia dan isteri bakal menimang anak ketujuh.

BACA: Jamal Abdillah Bakal Timang Anak Ketujuh

“Kadang-kadang soal zuriat tidak boleh dirancang kerana Tuhan yang tentukan. Kalau kita rancang macam mana pun tidak jadi juga jika tanpa izin-Nya.

“Jadi semua kecaman saya enggan layan dan tak tengok pun. Saya terima rezeki ini kerana Allah, saya panggil ini anugerah.

“Bagi saya, semuanya terserah kepada isteri. Dia kata sanggup lagi, saya okey sahaja. Jika dia mahu ‘ikat’, silakan dan kalau tak mahu pun saya ikut sahaja,” katanya.

Sementara itu, Jamal turut berkongsi keadaan isterinya baik-baik sahaja yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) berikutan alami alahan terhadap ubat.

“Perkembangan terkini, isteri saya sihat. Alhamdulillah, dia sebenarnya mahu ikut pada hari ini tetapi masih perlu berehat.

“Dia alahan bukan sebab hamil. Dia masih lagi belum boleh makan, sudah masuk hari ke-12 asyik muntah-muntah,” katanya.

Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017 dan dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 5, El Isaac Yamani, 4, Iskandar Rayyan Yamani, 2, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 1.

SUMBER: HibGlam

×