Achey Sifatkan ‘Childfree’ Ideologi Bodoh

Baru-baru ini, pelawak Achey meluahkan rasa kurang senang dengan video tular memaparkan sepasang suami isteri yang memberitahu mereka mendirikan rumah tangga tetapi tidak mahukan cahaya mata.

Menerusi satu rancangan hiburan, Achey berkata menyifatkan pasangan yang memilih prinsip childfree adalah pegangan ideologi kurang bijak. Malah, dia juga turut terkesan apatah lagi dia dan isteri berjuang untuk dikurniakan zuriat.

BACA: Achey Berang Kenyataan Pasangan Kahwin Tak Nak Anak, Anggap Beban

“Itu adalah ideologi yang bodoh. Banyak lagi perkara lain yang boleh kau benci atau tak suka. Tetapi kenapa perlu melibatkan cahaya mata. Secara tidak langsung kau telah mengguriskan hati pejuang-pejuang macam saya.

“Kes saya pula jika mengikut sains dan perubatan, isteri saya memang sudah tidak boleh hamil sebab dah potong kedua-dua tiub kiri dan kanan. Kecuali diizinkan Allah,” katanya.

Sementara itu, Achey berkata mereka yang mempunyai ideologi sedemikian pasti akan tahu nikmat sebenar apabila bergelar ibu bapa satu hari nanti.

“Satu hari saya harap pasangan itu akan terbabas. Bukan terbabas kereta, tetapi terbabas dikurniakan cahaya mata. Dik, saya percaya suatu hari kalian pasti akan faham apa itu nikmat sebenar yang dipanggil seorang ibu bapa,” katanya.

Achey mendirikan rumah tangga dengan Nor Hasanah Yahya pada 2011 namun belum dikurniakan cahaya mata. Pasangan itu mempunyai seorang anak angkat perempuan iaitu Nur Tiara Zinnirah.

SUMBER: Kosmo

×