Baru-baru ini, Malaysia menyaksikan gelombang gerakan sosial di mana pengguna dan aktivis mendesak untuk memboikot produk yang berkaitan dengan Israel. Gerakan ini, terutamanya dipicu oleh konflik di Timur Tengah, telah menimbulkan perdebatan dan tindakan di pelbagai sektor masyarakat Malaysia. Antara yang paling terjejas adalah individu kurang upaya (OKU), terutamanya mereka yang bergantung kepada kerja sambilan atau ekonomi gig.

Akibat ekonomi ke atas individu OKU telah begitu ketara dan menyentuh hati. Bagi ramai dari mereka, kehilangan pendapatan dari pekerjaan separuh masa telah memberikan kesan yang besar terhadap kestabilan kewangan mereka.

Sebagai pekerja sambilan, penggantungan pekerjaan mereka sering bergantung kepada perbelanjaan pengguna dan sentimen ekonomi secara keseluruhan.

Luahan Rakyat Yang Terjejas

“Abang ipar saya OKU pendengaran, kerja sambilan di restoran makanan segera. Sejak boikot bermula, dia tak dipanggil bekerja… ada sesiapa tahu kalau terdapat kerja kosong? Dia baru berkahwin, lokasi Tanah Merah Kelantan,” tulis seorang pengguna di platform media sosial X.

Luahannya itu membuatkan beberapa individu lain tampil berkongsikan kisah yang sama dan menyatakan kesukaran golongan OKU dalam mencari rezeki.

Tambahan pula, menurut mereka tidak banyak syarikat yang mudah mengambil OKU sebagai kakitangan sekali gus membuka peluang golongan tersebut menambah sumber pendapatan.

“Antara sebab aku ambil keputusan tak boikot. Sebab syarikat makanan segera macam ni saja yang sanggup gajikan OKU sebagai salah satu CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka.

“Tak semua syarikat buat macam ni. Lagi-lagi macam di Tanah Merah, tak banyak pilihan kerja pun,” ujarnya.

Jangan Boikot Membuta Tuli

Ramai juga berpendapat di sosial media yang mana rakyat tidak sepatutnya memboikot dengan membuta tuli kerana ianya akan menjejaskan kehidupan sesetengah pihak yang memerlukan pekerjaan untuk kelangsungan hidup.

“Tak sepatutnya boikot restoran makanan segera itu di Malaysia… tapi orang membuta tuli boikot sebab syarikat itu di luar negara lain sokong Israel.

“Strategi boikot ni patutnya bukan untuk melingkupkan syarikat tu tapi untuk paksa mereka ‘pilih’,” ujar mereka.

Sementara rakyat ramai yang bersetuju untuk memboikot demi saudara kita di Palestin, ramai juga yang mula sedar tindakan mereka sebenarnya memberikan kesan yang besar kepada mereka yang kurang keupayaan dan bergantung kepada kerja untuk terus hidup.

×