Pelawak dan pelakon Azlee Senario yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam disahkan mempunyai masalah saluran darah pada jantungnya tersumbat.
Memetik Kosmo, isteri kepada pelawak itu iaitu Aslinda Ayob berkata suaminya kini ditempatkan di Unit Penjagaan Koronari (CCU) untuk pemantauan selepas menjalani prosedur angiografi dan pemasangan stent (tiub kecil).
BACA: Azlee Senario Raih RM15,000 Sebulan Live Di TikTok
“Doktor mengesahkan saluran jantung Azlee tersumbat sebanyak 99 peratus dan prosedur pemasangan stent terus dilakukan segera. Alhamdulillah keadaannya stabil namun perlu mendapatkan rehat secukupnya sebelum dibenarkan pulang,” katanya.
Sementara itu, Aslinda berkongsikan suaminya tidak ada sakit jantung namun menunjukkan tanda-tanda seperti berpeluh dan sesak nafas selepas selesai kerja pada petang semalam.
“Dia balik mesyuarat pukul 5.30 petang semalam. Dia rasa berpeluh, panas dan mengadu dadanya sakit rasa ketat. Setahu saya, dia tidak ada sakit jantung tetapi dia memang ada darah tinggi. Sudah 10 tahun ambil ubat selain masalah gout.
“Dia tidak pernah kena serangan jantung tetapi mungkin ada simptom yang kami tak perasan. Kadang-kadang tangannya kebas tetapi saya ingat itu simptom kencing manis,” katanya.
Dalam pada itu, Aslinda berkata susulan keadaan suaminya dia terus membawa ke klinik berhampiran namun doktor meminta untuk ke hospital selepas keadaannya kritikal.
“Selepas pergi ke klinik, kami sempat balik ke rumah tetapi dia memang tidak dapat menahan sakit.
“Saya telefon ambulans dan terus dia dibawa ke zon merah Hospital Sungai Buluh tetapi tak sampai 10 minit doktor minta pengesahan untuk bawa ke IJN kerana keadaannya yang membimbangkan,” katanya.
SUMBER: Kosmo, mStar Online