Sindrom Anak Sulung

Bulan Syawal telah pun melabuhkan tirai, dan bagi Umat Islam suasana kemeriahan kini tertumpu kepada meraikan bakal Jemaah Haji yang sudah mula menerima panggilan menjadi Tetamu Allah di Tanah Suci. Bagi yang di Tanah Air, kemeriahan Hari Raya Aidil Adha dan ibadah korban juga bakal menjengah, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

Namun begitu,suasana ekonomi negara yang masih beransur pulih semenjak wabak COVID-19 sedikit sebanyak mempengaruhi selera berbelanja rakyat di musim perayaan. Rata-rata cuba mengimbangi hasrat memenuhi kehendak anak, isteri dan ibu bapa untuk meraikan hari raya yang penuh bermakna, lengkap dengan pakaian baharu, hiasan rumah dan segala macam juadah dengan tekanan ekonomi yang semakin hari semakin mencabar.

Ibadah haji bakal dilaksanakan umat Islam tidak lama lagi / Gambar kredit: The Muslim Times

Mungkin jumlah perbelanjaan meraikan Aidiladha tidaklah sehebat Hari Raya Aidilfitri, namun sedikit sebanyak ada duit yang perlu dikeluarkan untuk membeli beras pulut, santan, daun pandan, bawang dan sebagainya di pasar. Justeru, dalam suatu keluarga besar misalnya perlu ada semangat bantu-membantu dan tolak ansur di kalangan adik beradik agar sambutan hari raya, terutamanya di kampung dapat disambut dengan sederhana tapi penuh bermakna.

Tanggungjawab dan amanah

Lazimnya kalau kedua ibu bapa sudah uzur, berusia atau telah tiada, anak sulung lah yang memikul tanggungjawab dan amanah memastikan suasana berhari raya di kampung kekal meriah. Daripada proses membeli daging dan santan di pasar, menganyam ketupat dan membakar lemang, gantung mengantung tirai langsir, malah mengatur tilam bantal tempat tidur adik-beradik yang pulang, anak sulung yang berperanan, mengepalai proses, membahagi-bahagikan tugas dan ‘memayung’ perbelanjaan.

Tidak hairanlah ini berlaku kerana anak sulung selalunya menjadi anak harapan keluarga, anak yang perlu menjadi contoh teladan kepada adik-adik, anak yang menunjukkan potensi akademik yang cemerlang di peringkat sekolah dan universiti, dan yang pertama mendapat pekerjaan. Harapan dan iltizam yang ditanamkan ke dalam diri dan jiwa anak sulung ini sedikit sebanyak mendidik jiwa pemimpin yang kental dan berdikari, seterusnya menjadi contoh teladan buat adik-adik. Lazimnya anak sulunglah yang berjaya mengukir kejayaan dan membina karier yang stabil, sementara adik-adik masih mencari-cari rentak dalam kehidupan.

Tetapi, anak sulung juga kadangkala menanggung ‘beban’ harapan dan impian ibu bapa untuk melihatnya berjaya dalam pelbagai bidang. Kadang kala ada elemen paksaan dan tekanan, sehingga anak sulung tidak sebebas adik-adik dan tidak mendapat kasih sayang secukupnya. Pada masa yang sama, setelah ibu bapa lanjut usia, anak sulung jugalah diharapkan memberi jagaan sewajarnya dan menyara mereka di kala meniti senja, sesuatu yang amat mencabar di tengah-tengah realiti kehidupan yang penuh kesibukan.

Suasana biasa pulang ke kampung untuk berhari raya / Gambar Kredit: mStar Online

Realitinya, anak sulung memang diharapkan keluarga untuk lebih banyak memberi, tanpa sebarang pujian dan sanjungan.

Anak sulung berkorban untuk ‘keluarga besar’

Situasi kekeluargaan ini dapat juga kita kiaskan dengan suasana sektor korporat di negara kita. Ada syarikat milik kerajaan yang membawa seribu harapan dan impian anak bangsa, seumpama ‘anak sulung’ dalam kalangan keluarga GLC.

Selama ini, syarikat tersebut antara yang paling banyak menganugerahkan biasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara. Syarikat tersebut juga telah mendidik anak bangsa menjadi pakar dalam bidang berteknologi tinggi berkaitan, minyak, gas dan tenaga, sehingga diiktiraf sebagai syarikat bertaraf dunia. Syarikat ini jugalah yang membangunkan pekan-pekan terpencil suatu masa dahulu menjadi hab industri berteknologi tinggi, yang membuka beribu-ribu peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

Tidak cukup dengan itu, syarikat inilah juga yang menyumbangkan berbilion-bilion ringgit setiap tahun kepada perbendaharaan negara dalam bentuk cukai dan dividen. Rata-rata pengurusan syarikat pun dikenali sebagai pemimpin korporat yang lebih banyak bekerja dan kurang bercerita tentang sumbangan dan usaha yang dilaksanakan selama ini.

Semangat Aidil Adha yang perlu diraikan / Gambar Kredit: Majoriti MY

Mungkin sifat kurang berkomunikasi dan kurang mencanangkan sumbangan kepada anak bangsa ini suatu kelemahan di kancah dunia maya yang penuh lambakan cerita dan berita. Oleh itu, tidak hairanlah jika baru-baru ini syarikat ‘anak sulung’ ini seolah-olah terpalit dengan isu tidak memberi peluang sewajarnya kepada anak bangsa untuk sesuatu peluang perniagaan.

Semenjak itu, dapat diperhatikan usaha pihak syarikat dan badan-badan mewakili peniaga Bumiputera untuk mencari titik penyelesaian secara musyawarah, sebagaimana adat bangsa kita tidak membiarkan panas setahun dilupakan dek kerana hujan sehari.

Mungkin dengan perbincangan dan persefahaman akan terbukalah pintu rezeki yang baru buat anak bangsa, selari dengan semangat syarikat yang menyumbang dengan ikhlas tanpa mengharap belas dan balas. Namun begitu, ada juga pihak yang mengambil peluang menunggang isu untuk mencari nama sebagai pembela anak bangsa, bermodalkan retorik yang pasti mengeruhkan lagi suasana. Mereka mungkin alpa yang realitinya memang amat mudah meruntuhkan daripada membina.

Sebagai ‘anak sulung’ caci maki dan nista agaknya sudah menjadi makanan harian, walaupun segala jasa dan sumbangan selama ini seolah-olah diketepikan lantaran kekhilafan yang bersifat sementara. Di bulan berkat ini afdalnya kita berlapang dada dan saling memaafkan, agar ada penyelesaian yang tuntas di masa hadapan.

Apapun realiti dan cabaran di dunia korporat, penulis perlu kembali ke realiti di alam yang nyata.Sebagai anak sulung yang beraya di kampung, perhatian yang teralih harus kembali ke usaha memikirkan berapa kilo santan dan ayam pencen yang perlu dibeli untuk persediaan merendang sebagai juadah sebelum bertungkus lumus melaksanakan ibadah Korban.

Semoga Aidil Adha memberi peluang untuk kita semua membuang yang keruh dan mengambil yang jernih.

Gambar hiasan kredit: Coretan Nasihat

×