Penyanyi Marsha Milan berkata dia mahu mencuba rawatan kesuburan In-vitro (IVF) selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga namun belum berkesempatan lagi melakukan rawatan berkenaan.
Memetik Kosmo, Marsha berkata dia dan suaminya, Shaiful Nizam masih mencari masa sesuai memandangkan rawatan tersebut menuntut tempoh masa yang panjang.
BACA: Marsha Milan Selesa 10 Tahun Tinggal Sebumbung Dengan Mentua
“Sebenarnya sudah ada perancangan untuk IVF dari tahun lepas tetapi saya tiada masa lagi, seperti semua maklum kaedah berkenaan memerlukan komitmen penuh dari segi waktu.
“Perkara ini pun dah bincang dengan suami, dia setuju sahaja. Kami sudah berjumpa pakar-pakar sebelum ini, tinggal lagi cari waktu untuk lakukannya sahaja.
“Kalau nak cakap soal tarikh itu pun saya belum tahu, rawatan ini rumit apatah lagi untuk wanita kerana memerlukan rehat dalam jangka panjang, banyak benda saya kena fikir sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, Marsha berkata dia terbuka mengambil anak angkat seandainya ditakdirkan tiada rezeki zuriat meskipun suaminya menasihatkan agar tidak berfikiran jauh.
“Kalau Allah kata tunggu, kami perlu reda. Suami pula tidak bagi saya fikir terlalu jauh lebih-lebih lagi soal pengambilan anak angkat.
“Saya tidak kisah mengambil anak angkat dan pernah terdetik untuk lakukan perkara tersebut jika tiada rezeki dapat zuriat sendiri. Suami pun tidak tergesa-gesa kerana kami pun belum tua sangat dan masih ada masa,” katanya.
Untuk rekod, Marsha mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 2015.
SUMBER: Kosmo