Pelakon dan pelawak Lan Pet Pet meluahkan rasa kecewa apabila peralatan memasak untuk perniagaannya dicuri sekaligus mengalami kerugian lebih RM10,000.
Memetik Hib Glam, Lan berkata dia sudah pun membuat laporan polis dan selain periuk, motor mesin kacau kuah serta kabel turut dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab itu.
BACA: “Lan Pet Pet Nampak Macam Gangster Tapi Dia Insan Baik”
“Saya sudah membuat laporan polis, tak tahu nak cakap macam mana, periuk belanga buat persiapan perniagaan kami semuanya telah dicuri. Apa yang saya boleh katakan, setiap biji periuk ini berharga RM1,200 setiap satunya, dah mereka sapu habis tiga biji periuk.
“Barang lain yang dicuri ialah motor mesin kacau kuah, kabel dan pelbagai lagi. Memang habis licin. Anggaran nilai kecurian lebih RM10,000,” katanya.
Meskipun geram diatas apa yang berlaku, Lan berkata dia bersyukur kerana diberikan kekuatan untuk meneruskan perniagaannya di karnival makanan itu serta berdoa agar segalanya dipermudahkan.
“Terima kasih, Ya Allah kau beri kami kekuatan. Terima kasih juga kepada pasukan perniagaan saya yang tidak pernah berputus asa meskipun macam-macam dugaan berlaku.
“Apa-apa pun, janji tetap janji. Saya berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan perniagaan saya, rasa ‘down’ itu pasti tetapi saya reda.
“Saya janji saya akan tunaikan untuk kuat dan meneruskan perniagaan dalam karnival makanan itu tetapi anda juga jangan lupa doakan untuk saya dan kru saya ya,” katanya.
Difahamkan, periuk sebanyak tiga buah dan barangan lain yang dicuri itu diletakkan di kedai di Alor Setar Kedah.