Hanya Salah Faham, Shuhada Mohon Maaf Pada Puteri Sarah

Susulan komen seorang memberi bayangan pelakon Puteri Sarah bakal mendirikan rumah tangga, bekas isteri kepada Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada tampil memohon maaf.

Menerusi perkongsian di Insta Story, Shuhada berkata kenyataannya tiada kaitan dengan perkahwinan sebaliknya hanya menzahirkan rasa bahagia.

BACA: Puteri Sarah Nafi Dakwaan Bakal Kahwin Andi Arsyil

“Alamak ini adalah salah faham besar, komen saya tu betul-betul menzahirkan rasa bahagia untuk semua orang yang saya hormati dan pandang tinggi dan tak ada berkait untuk apa-apa perkahwinan. Tak sangka pula ‘tertwisted’ sampai macam tu sekali.

Saya pun peminat Kak Farah dan Kak Sarah macam orang lain. Sikit  pun tak rasa nak cari ‘spotlight’ atau apa-apa untuk jadi tajuk berita,” katanya.

Dalam pada itu, Shuhada juga telah memohon maaf secara peribadi terhadap Puteri Sarah di atas salah faham yang berlaku dan turut membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya dah mohon maaf dekat Kak Sarah secara peribadi dan di sini saya mohon maaf kalau ada yang menghina atau mengutuk Kak Sarah kerana hal tersebut. Kita doakan yang baik-baik untuk orang mesti Allah bagi yang baik-baik,” katanya.

Terdahulu, Puteri Sarah meluahkan rasa kesal susulan tular dakwaan bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon Indonesia Andi Arsyil.

Puteri Sarah berkata dakwaan itu hanya fitnah semata-mata serta menjelaskan hubungannya dengan Andi hanya rakan perniagaan dan tidak lebih daripada itu.

×