Baru-baru ini, nama pelakon Azar Azmi menjadi bualan ramai apatah lagi sudah lama ‘hilang’ secara tiba-tiba dari industri seni sejak tahun lalu.

Memetik mStar Online, pelakon Hafreez Adam yang pernah rapat dengan Azar berkata dia juga tidak mendengar khabar daripada aktres itu dan kali terakhir berhubung pada September 2021.

BACA: Lenyap Dari Industri Seni, Di Mana Azar Azmi?

Menurut Hafreez lagi, mereka pernah dalam fasa mengenali hati budi masing-masing namun tidak bertahan lama.

“Kami pernah keluar bersama sebelum ini namun tidak meletakkan sebarang status, hanya sekadar fasa kenal hati budi. Bagaimanapun sekitar Julai 2021 kami mengambil keputusan membawa haluan masing-masing.

“Kali terakhir kami bertemu sekitar September tahun sama sebelum dia terus hilang sehingga kini. Saya pernah hantar mesej kepadanya pada November 2022 apabila produksi cuba mencarinya namun mesej tersebut tidak dibalas,” katanya.

Sementara itu, Hafreez berkata dia cuba menjejakai Azar melalui keluarganya namun pengurusnya sendiri tidak tahu keberadaan pelakon itu.

Dalam pada itu, Hafreez menyifatkan Azar seorang yang ceria dan yakin bahawa aktres itu ada sebab tersendiri mengapa dia menghilangkan diri.

“Dia seorang yang ceria dan mungkin ada sesuatu yang disembunyikan. Mungkin dia perlu ruang untuk diri sendiri. Kita sendiri pun tidak tahu apa yang dia lalui.

“Kalau boleh maklumkan pada seseorang sekurang-kurangnya dia dalam keadaan baik. Saya mahu dia tahu bahawa ramai orang sayangkan dia,” katanya.

×