Bakal diijabkabulkan pada Sabtu ini, pempengaruh media sosial, Ubai berkata dia sudah bersedia untuk berdepan dengan apa saja dakwaan yang timbul selepas bergelar suami kepada penyanyi, Shila Amzah.
Memetik Harian Metro, Ubai berkata dia tidak boleh menutup mulut orang untuk bercakap apa saja termasuk mengenai soal kewangan. Menurutnya, dia juga turut bekerja dan tidak ‘menumpang’ sesiapa.
BACA: “Kenapa Ada Laki Tu Pergi Kursus Kahwin Tapi Nafkah Tak Bagi” – Ubai Perli Siapa?
“Apa yang saya tahu, saya mengahwini Nurshahila. Saya tak kahwin dengan Shila Amzah. Bagi saya, Shila Amzah adalah orang lain, orang yang berbeza.
“Jadi, dari segi orang cakap kewangan ke apa, yang itu (pendapatan) memang saya pun ada kerja saya. Sha (Shila) dengan kerja dia. Kami dua-dua bekerja.
“Bukannya, saya hanya macam menumpang dia ke, tak ada pun. Saya tak ada nak tumpang ke apa, kami memang sama-sama. Untuk persiapan perkahwinan ini pun, kami bekerjasama buat semuanya,” katanya.
Dalam pada itu, Ubai berkata dia menyedari akan timbul cakap-cakap yang tidak sedap di dengar apabila memilih untuk berkahwin dengan artis.
“Banyak persepsi orang bila kahwin dengan selebriti, lagi-lagi bila kita pula tak dikenali seperti mana pasangan, jadi banyaklah kata-kata yang kurang enak. Tapi, benda-benda itu saya tak endahkan. Sebabnya, dalam perhubungan ini, saya dan Sha. Kami pun memang tiada apa-apa masalah,”
Terdahulu, Ubai dan Shila selamat mengikat pertunangan pada 27 Mei lalu dalam satu majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga, saudara rapat dan kenalan masing-masing.