Nabila Razali Syukur Akhirnya Tercalon Top 5 ABPBH

Penyanyi dan pelakon Nabila Razali meluahkan rasa syukur tercalon Top 5 bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35.

Memetik Oh Bulan, Nabila mengakui terkejut dan ini merupakan kali pertama dia tercalon dalam Top 5 selepas hampir 10 tahun bergelar anak seni.

BACA: Kongsi Foto Hadir Perkahwinan MK, Nabila Razali Tutup Ruangan Komen

“Secara jujur, sejak kali pertama masuk dalam industri seni, saya simpan impian bergelar finalis ABPBH.

“Harus diakui mereka memiliki vokal mantap, unik dan tersendiri. Jadi, sudah tentu, saya amat terkejut, bagaimana saya boleh terselit dalam senarai hebat itu. Apa pun, saya bersyukur atas rezeki yang diberi ini,” katanya.

Ditanya mengenai kecaman netizen tentang kemampuan vokalnya, Nabila berkata itu cabaran perlu dilalui sebagai anak seni.

“Saya sudah lali dengan kecaman. Ia menjadi asam garam anak seni. Apa yang penting, saya perlu terus menghasilkan produk berkualiti. Biar apa pun kontroversi, biasanya orang di luar tidak akan bercakap lama,” katanya.

Dalam pada itu, Nabila turut mengucapkan terima kasih kepada ABPBH di atas pencalonan berkenaan serta kepada peminat yang mengundi.

“Saya tidak letak harapan kerana bagi saya, bolos Top 5 sudah membuatkan saya gembira . Ini adalah salah satu daripada berita yang amat baik buat kerjaya saya tahun ini,” katanya.

×