8 Tahun Terpisah, Awie Akhirnya Bakal Jumpa Dua Anak Aidiladha Ini

Penyanyi Datuk Awie meluahkan rasa teruja apabila berpeluang berjumpa dengan dua anak kandungnya pada Aidiladha ini selepas lapan tahun tidak bertemu.

Memetik mStar Online, Awie berharap rancangan untuk bertemu dua anaknya iaitu Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha berjalan lancar serta menyifatkan raya kali ini bermakna buat dirinya.

BACA: “Tak Menyesal Ke Lantik Saya Jadi Duta? Saya Gengster, Pukul Bini” – Awie

“Insya Allah raya haji tahun ini saya mungkin akan bertemu dengan anak saya yang sudah terpisah selama lapan tahun. Mungkin ia akan menjadi raya yang bermakna untuk saya.

“Kalau mengikut penjanjiannya saya mungkin akan bertemu mereka pada hari raya pertama dan saya teruja menantikan hari tersebut. Harap-harap dapatlah,” katanya.

Bagaimanapun, Awie berkata dia belum boleh berkongsikan lebih lanjut mengenai pertemuan itu kerana anaknya belum lagi memberikan kata putus.

“Tapi masih belum ada perancangan untuk bertemu di mana, saya masih menunggu balasan mesej daripada dia… kalau dia kata nak keluar saya akan bawa keluar.

“Sebabnya dia (Qasseh) saja yang dapat hubungi saya… saya tak dapat nak hubungi dia. Saya pun tak tahu nombor telefon dia. Kalau tidak dapat bertemu sehari… setengah hari pun tidak mengapa,” katanya.

Dalam pada itu, Awie berkata anak perempuannya itu yang menghubunginya terlebih dahulu meluahkan rasa rindu sebaik saja dia pulang dari mengerjakan ibadah umrah pada Ramadan lalu.

“Saya memang tak dapat nak hubungi dia selama lapan tahun… ini pun anak perempuan saya yang hubungi saya. Mereka pun dah 13 dan 15 tahun sekarang ini.

“Saya menerima mesej dari dia ketika saya di Tanah Suci Makkah pada bulan Ramadan lalu. Saya banyak berdoa semasa di sana tak sangka bila saya balik anak saya ada mesej saya. Memang berderai air mata saya,” jelasnya.

Untuk rekod, Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha merupakan anak hasil perkahwinan Awie bersama Rozana Misbun.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2006 namun bercerai pada 2014. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata yang mana seorang lagi iaitu Putra Ahmad Merrah tinggal bersama Awie.

×