Seperti yang anda tahu, lebih 8 juta golongan B40 mula menerima Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 (STR 3) yang dipercepatkan pemberiannya pada 26 Jun 2023.
Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mahu menyalurkan sumbangan sebelum Hari Raya Aidiladha bagi meringankan beban kewangan rakyat.
Untuk info anda, pembayaran STR Fasa 3 ini bernilai lebih RM2 billion. Sumbangan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima atau bagi yang tiada akaun bank, boleh hadir ke mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk mendapatkannya secara tunai.
Pemberian ini diagihkan secara berperingkat kepada kategori penerima yang terdiri daripada isi rumah berpendapatan di bawah RM2,500 dan RM2,501-RM5,000, warga emas tiada pasangan dan bujang.
Tidak ketinggalan, pada Isnin 26 Jun, penerima di Alor Setar hadir di Cawangan Utama Negeri BSN Kedah untuk menerima sumbangan mereka.
Rata-rata yang hadir sangat bersyukur kerana sumbangan STR ini diberikan menjelang Aidiladha.
Bagi pesara Md Jalil Md Ali, 72, yang hadir untuk kali ketiga menerima sumbangan ini, proses pemberian sangat mudah dan lancar.
Dengan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, sumbangan yang diterima ini sedikit sebanyak membantu dirinya untuk berbelanja.
“Alhamdulillah, sumbangan yang saya terima hari ini dapat membantu seisi keluarga saya. Boleh juga bagi duit Raya pada cucu-cucu saya,” ujarnya.
Arivenraj Jeyasekaran, 27, yang bekerja sebagai konduktor lori sangat gembira dengan proses penerimaan sumbangan kali ini.
“Proses harini nampaknya berjalan lancar, tak tunggu lama. Tak sampai 10 minit pun. Saya datang ke kaunter pertanyaan dan hanya beri kad pengenalan dan tunggu nombor giliran dipanggil. Sangat cepat!”
Tambahnya lagi, sumbangan yang diterimanya ini cukup untuk membeli barang dapur.
Berbeza dengan penerima Wan Mohd Ali Wan Long, 87, pesara tentera, sumbangan yang diterima kali ini akan disimpannya dalam tabung.
“Duit ini saya simpan tabung sebab saya memang suka menabung,” jelasnya sambil tersenyum.
Tambah dia, sumbangan ini sangat perlu dan diteruskan. Nilai RM300 ini cukup memberikan manfaat kepada dirinya.
Fasa Pertama STR telahpun diagihkan pada 17 Januari 2023 secara berperingkat. Manakala, Fasa Kedua pula pada bulan April dan diikuti Fasa Ketiga iaitu pada 26 Jun.
Secara keseluruhan, STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.
Maklumat lanjut mengenai inisiatif Belanjawan 2023 lain boleh didapati di
belanjawan.mof.gov.my/manfaat.