Pasti ramai yang kenal dengan Adam’s family yang kini mempunyai jumlah pengikut yang ramai. Malah, perkongsian mereka sering menjadi perhatian kerana ia sekaligus membuat mata masyarakat tentang autisme.
Baru-baru ini, keluarga Adam berkongsikan khabar duka apabila terpaksa berpindah rumah selepas tuan rumah tidak menyambung kontrak mereka.
Bapa kepada Adam iaitu Iman Wan Tuck Meng berkata kontrak dipercayai tidak disambung kerana tuan rumah tertekan dengan aduan diterima daripada jiran-jiran.
“Kepada jiran di kiri dan kanan kami di Temasya Suria. Kami tahu apa yang anda lakukan dan kami tahu anda orang yang macam mana. Tapi jangan bimbang, impian anda sudah jadi kenyataan.
“Kamu dah berjaya minta pemilik untuk tidak memperbaharui sewaan kami. Kami akan berpindah keluar hujung bulan ini. Anak lelaki saya tidak akan ganggu kamu lagi.
“Mohon maaf untuk semua ketidakselesaan yang ditimbulkan. Semoga anda mendapat ketenangan dan kehidupan yang baik selepas ini,” tulisnya.
Sementara itu, di kapsyen Iman Wan berkata Adam tidak membuat bising setiap masa. Katanya lagi, tujuan dia berkongsi perkara itu untuk memberitahu bahawa tidak semua orang boleh menerima anak autisme.
“Untuk rekod, Adam tidak bising setiap hari, dan walaupun dia berbuat demikian, tak pernah dari subuh hingga malam.
“Kami mendapat tahu daripada sumber dipercayai sebab penyewaan kami tidak akan diperbaharui kerana pemilik tertekan sepanjang tahun susulan aduan yang dibuat oleh dua jiran kami kepadanya.
“Saya percaya Allah mempunyai perancangan yang lebih baik. Kami reda. Sebab saya membuat perkongsian ini adalah supaya keluarga yang mempunyai keadaan yang sama akan tahu bahawa tidak semua orang boleh menerima individu autistik seperti anak kami,” katanya.
Untuk rekod, anak kedua Iman, Adam telah disahkan menghidap ‘Autism Spectrum Disorder’ (ASD) dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) sejak berusia dua tahun enam bulan.