Suami Pelakon Mabuk Tampar Anak Ditahan

Suami kepada seorang pelakon ditahan selepas dipercayai menampar anak perempuan mereka berusia sembilan tahun pada Ahad lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pelakon wanita berusia 41 tahun itu pada Ahad lalu.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila suspek berusia 35 tahun disyaki dalam keadaan mabuk bergaduh dengan pelakon berkenaan.

Difahamkan, anak pasangan itu cuba meleraikan pergaduhan tersebut bagaimanapun telah ditampar oleh suspek. Pelakon itu juga memberitahu suspek merupakan seorang kaki mabuk dan panas baran.

Susulan kejadian itu, anak pelakon tersebut mengalami sakit pada bahagian pipi dan telinga akibat dilempang.

Suspek telah ditahan reman selama tiga hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994

Pelakon wanita terbabit pernah berlakon drama Kampong Pisang Bersiri-siri arahan Allahyarham Mamat Khalid.

Selain itu, dia turut pernah membintangi filem Sembilu, Kala Malam Bulan Mengambang, Dukun serta Hantu Kak Limah: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

×