Berpeluang bertemu dengan penyanyi lagi parodi PKP, Azman Naim, pengarah terkenal, Mamat Khalid berkata peribadi lelaki itu menarik minatnya untuk mengambilnya berlakon.
Mamat berkata dia turut meluahkan hasrat untuk mengambil Azman berlakon dalam satu projek khas kerana yakin lelaki itu sangat berbakat dan istimewa.
BACA: Kritikal Di ICU, Isteri Minta Doakan Mamat Khalid
“Pertama kali saya sedar dia mempunyai bakat yang sangat istimewa adalah ketika dia nyanyi parodi lagu raya. Kalau tak silap, dalam Instagramnya.
“Sejak itu, saya mula rasa budak ini punya sesuatu yang segar untuk diketengahkan kepada orang ramai. Dengan gaya bersahaja, muka ‘selenga’ dan mata yang langsung tak berkedip, itu buat saya rasa, dia mampu jadi satu karakter yang bagus,” katanya.
Menurut Mamat, watak untuk Azman akan diwujudkan iaitu adik kepada watak Cik Purnama lakonan Dewa Sapri dalam ‘universe’ (galaksi) Kampong Pisang.
Kata Mamat lagi, meskipun luaran Azman nampak sebegitu, namun lelaki itu sangat beradab dan merendah diri. Katanya lagi, dia tidak sabar untuk menonjolkan keistimewaan Azman.
“Pertama kali jumpa dia depan mata, yang buat saya betul-betul terpikat adalah adab yang ditunjukkannya. Azman sangat-sangat beradab, ‘cool’ dan merendah diri walaupun muka dia ‘pecah rumah’.
“Dia sangat istimewa dan tak sabar untuk tonjolkan keistimewaan yang ada pada dirinya dalam karya-karya saya berikutnya. Insya-Allah, kalau ada projek drama atau supertelemovie, saya akan pelawa dia untuk terlibat sama lagi,” katanya.
Terdahulu, nama Azman menjadi sebutan netizen apabila nyanyian parodi PKP tular di media sosial. Malah, nyanyian Azman turut mendapt perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail.