Sejak beberapa bulan lalu, nama pengacara dan pelawak, Shuk Sahar menjadi bualan ramai berikutan kontroversi didakwa berlaku curang sehingga memusnahkan kariernya.
Kontrak sebagai penyampai radio di Hot FM ditamatkan pada 18 Februari lalu, Shuk akur rezekinya setakat itu sahaja namun dia terus bangkit mencari rezeki untuk keluarga.
BACA: Shuk Sahar Jual Kuetiau & Air Untuk Teruskan Hidup
“Apa yang sudah berlaku biar berlalu. Saya reda dan demi keluarga tidak boleh berasa kecewa. Ditambah lagi, percaturan rezeki kita adalah milik Allah.
“Jika saya terlalu bersedih dan kecewa, ia umpama tidak menerima apa yang Allah sudah tetapkan. Alhamdulillah, sekarang pun saya mula merancang perniagaan demi mendapatkan rezeki buat menyara keluarga.
“Syukur juga ada kenalan saya yang sudi bekerjasama untuk jadi rakan kongsi dalam projek perniagaan kami usahakan. Malah, saya juga tak sangka akan memberanikan diri menceburi perniagaan,” katanya.
Baru sahaja menceburkan diri dalam peniagaan kuetiau dan minuman, Shuk berkata dia perlu mengambil apa sahaja peluang yang datang untuk perniagaan.
“Kalau dulu mungkin saya terbiasa berada di zon selesa, tapi kini situasi sudah berubah. Saya kena giatkan usaha untuk ‘memulakannya’ semula,” katanya.
Dalam pada itu, Shuk berkata jadual kerjanya masih padat sehingga kini dan dia tidak memilih atau menolak jika ada rezeki untuk keluarga.
“Apa yang berlaku sebelum ini banyak memberikan pengajaran untuk saya berubah ke arah lebih baik. Kini, saya sangat utamakan aura persekitaran positif untuk produktif mencari rezeki halal buat keluarga dan terima kasih atas sokongan diberi.
“Pada netizen yang mengecam dan kata macam-macam, saya okay saja. Mana kritikan yang baik dan membina daripada mereka, saya terima manakala sebaliknya biarlah. Bagi saya, semua orang ada dugaan hidup masing-masing,” katanya.