Mila Jirin Tak Malu Jual Durian Untuk Bayar Gaji Pekerja

Seperti kita tahu, susulan penularan wabak COVID-19, boleh dikatakan ramai yang terjejas pendapatan berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banyak perniagaan turut mengalami kerugian.

Penyanyi Mila Jirin yang juga pemilik perancang perkahwinan Bizmilla turut berdepan nasib sama apabila terpaksa menanggung kos pengurusan dan gaji pekerja hampir RM200,000 sebulan.

BACA: Tak Sanggup Buang Pekerja, Mila Jirin Jual Kek Untuk Bayar Gaji

Tidak hanya berpeluk tubuh dan tak sanggup melihat pekerja-pekerjanya hilang punca pendapatan Mila mencari inisiatif lain dengan menjual kek untuk membayar gaji para pekerja.

Nampaknya selepas menjual kek, Mila mengambil peluang untuk menjual buah durian pula untuk menambah punca pendapatan syarikatnya. Ujarnya lagi, ramai juga rakannya seolah tidak percaya dia kini menjadi penjual durian.

https://www.instagram.com/tv/CBNhymanLqK/?utm_source=ig_embed

“Ramai kawan tanya betul ke saya jual durian, ya memang betul buat pertama kalinya kami berniaga durian di Puchong, Selangor.

“Kenapa saya jual durian tahun ni? Ini adalah kerana syarikat berasaskan perkahwinan kami iaitu Bizmilla tak dapat jalankan perniagaan berikutan COVID-19 dan PKP.

“Jadi saya dan staf ambil inisiatif menerokaai bisnes baharu sebagai penjual durian,” katanya.

Dalam pada itu, Mila berkata dia tidak malu untuk mengakui dirinya kini usahawan buah durian demi untuk memastikan para pekerjanya mendapat pendapatan bulanan seperti kebiasaannya.

“Apa yang nak dimalukan. Sebenarnya ini inisiatif kami untuk membantu syarikat jana pendapatan dan memastikan pekerja mendapat pendapatan bulanan yang sama.

“Saya selalu cakap dengan staf ini adalah rezeki kerana kita berniaga hari ini bukan untuk mengejar keuntungan syarikat tapi untuk menampung kos operasi,” katanya.

×