Mahu Fokus Umrah, Zamani Tak Bawa Telefon Ke Tanah Suci

Baru saja berangkat untuk mengerjakan Umrah bersama isterinya, Nur Juliana serta beberapa ahli keluarga malam tadi, Zamani berkata dia mahu fokus mengerjakan amal ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.

Ujar Zamani lagi, dia bertekad tidak mahu memikirkan tentang hal dunia ketika berada di sana malah tidak membawa telefon bimbit.

BACA: Zamani Sah Bergelar Suami Kepada Nur Juliana

“Diikutkan pelbagai perkara difikirkan tapi yang penting saya nak tumpu pada beribadat. Niat ke arah situ sahaja. Kalau nak difikirkan macam-macam perkara, memanglah takkan habis. Tapi insya-Allah sampai sahaja di sana, saya nak fikir ibadat sahaja.

“Sepanjang 12 hari di sana, saya bertekad akan melapangkan fikiran daripada hal dunia. Bahkan telefon pun saya tak bawa,” katanya kepada Harian Metro.

Zamani memberitahu kesihatannya kini dalam keadaan baik namun ubat-ubatan akan dibawa sebagai persediaan. Zamani berkata di Tanah Suci nanti, dia akan mendoakan supaya kesihatannya stabil serta dikurniakan anak secepat mungkin.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak persediaan sudah dibuat. Kesihatan saya boleh dikatakan bagus. Namun, sudah pasti saya bawa ubat sebagai langkah berjaga-jaga dan rawatan.

“Saya juga tahu keadaan di sana ramai orang dan apa saja dugaan nanti saya akan tempuh. Yang penting saya mahu mendoakan yang baik-baik untuk semua kenalan dan peminat serta minta ampun daripada Allah atas dosa dilakukan,” katanya.

×