Baru-baru ini tular di media sosial tajuk berita oleh sebuah laporan akhbar mengenai pelakon dan penyanyi Fazura yang mendakwa Fattah Amin meluluskan adegan seksi isterinya dalam klip video, Can’t Forget Me.
Rentetan daripada pelbagai kecaman dan salah faham yang timbul, Fazura menjelaskan bahawa kenyataan oleh laporan akhbar itu sangat tersasar kerana ‘seksi’ yang dimaksudkan adalah lirik lagu tersebut dan bukannya aksi seksi.
BACA: “Suami Luluskan Adegan Seksi Dalam Video Muzik”
Menerusi Instagram, Fattah turut memuat naik kenyataan berhubung isu tersebut serta meluahkan rasa kecewa apabila seorang pendakwah yang membuat teguran secara terbuka tanpa sebarang usul periksa. Fattah turut menyifatkan tindakan pendakwah itu mengundang cercaan dan fitnah terhadap mereka suami isteri.
“Walaupun ini bukan kali pertama kami menjadi mangsa fitnah tetapi kali ini ianya berbeza dan menyinggung perasaan kami kerana fitnah itu seolah-olah telah diberikan layanan istimewa oleh seorang “pendakwah” yang gagal membuat usul-periksa yang sewajarnya.
“Apalah salahnya jika kami dihubungi terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian?
“Wajarkah fitnah itu dijadikan bahan populis dalam akaun media sosial beliau serta mengundang pelbagai cercaan fitnah terhadap kami? Kami doakan agar “pendakwah” tersebut diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk mampu berdakwah serta membimbing kami dan masyarakat dengan lebih baik melalui kaedah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW,” tulisnya.
Pendakwah berkenaan iaitu PU Syed telah membuat teguran secara terbuka berhubung laporan akhbar tersebut. Bagaimanapun, pendakwah itu kemudian dilihat memuat naik kenyataan permohonan maaf berhubung teguran yang hanya berdasarkan laporan tidak benar menerusi akhbar berkenaan.
“Kepada penyokong Fattah dan Fazura, tiada sekelumit rasa dalam hati saya untuk melagakan antara kedua suami isteri ini. Ianya adalah respon saya untuk menegur, bukan sahaja kepada keduanya tetapi juga buat suami suami isteri diluar sana,” katanya.