8 Sebab Teluk Intan Bakal Jadi Tumpuan Ramai

Untungnya orang Teluk Intan. Jika sekarang memang ramai dah tahu di Teluk Intan ini memang terdapat pelbagai tarikan pelancongan, rupa-rupanya pihak kerajaan telah pun merangka macam-macam lagi penambahbaikan untuk 5 tahun mendatang.

Jika anda perasan, sekarang’kan ramai peniaga yang sudah berniaga menggunakan food truck? Ha, bermula dari sekecil perkara sehinggalah ke perniagaan fodd truck nanti akan diberi kemudahan yang sepatutnya. Kami kongsikan 8 perkara yang buatkan Teluk Intan akan menjadi lokasi tumpuan orang ramai.

1. Ekonomi

Perkara pertama yang perlu diberi perhatian pastinya pekerjaan kepada graduan. Untuk itu industri berasaskan sektor hiliran komoditi akan terus dikembangkan, untuk menjadikan Teluk Intan sebagai sebuah hub perindustrian bernilai tambah tinggi. Dengan ini, lebih peluang pekerjaan akan diwujudkan.

Dalam masa yang sama, aktiviti ekonomi di Teluk Intan turut akan dipacu dengan kehadiran seramai 3,000 mahasiswa serta tenaga pengajar UPSI dan 1,000 keluarga yang menetap di PR1MA Teluk Intan.

Antara inisiatif baru yang akan diperkenalkan termasuklah menyediakan khidmat bimbingan untuk Perniagaan Kenderaan Saji (Food Truck) dan Jualan Motor Bergerak.

Malah bagi golongan muda yang berminat untuk berniaga, kerajaan akan menyediakan khidmat bimbingan perniagaan atas talian (online) dan Skim Pinjaman Mikrokredit tanpa faedah akan diperkenalkan. Berbaloi sungguh!

2. Kualiti Hidup

Sebut saja kemudahan awam, memang terasa ringan beban untuk menyelesaikan urusan harian. Untuk itu, Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang kedua di Negeri Perak akan dibina di Teluk Intan dan inisiatif ini bakal menghimpukan semua urusan perkhidmatan kerajaan dibawah satu bumbung.

Lagi best, perkhidmatan bas mini antara bandar juga akan dimulakan manakala perkhidmatan bas awam sedia Rapid akan dinaiktraf dan diperluaskan lagi disamping menaik taraf perkhidmatan bus awam sedia. Selain itu, demi keselesaan pengguna jalan raya, lebih banyak lampu jalan di kawasan Jalan Changkat Jong dan Jalan Maharajalela akan dipasang.

Hospital Teluk Intan juga bakal dinaik taraf agar pesakit dan pelawat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien dan selesa.

3. Rumah Mampu Milik – Perumahan Rakyat Untuk Semua

Untuk tempoh 5 tahun mendatang, 500 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina melalui 2 fasa bagi memenuhi keperluan warga yang tergolong di bawah kategori pendapatan B-40.

Selain itu, sebanyak hampir 1,000 unit rumah teres di bawah projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) akan sedia diduduki oleh warga Teluk Intan. Projek ini merupakan projek perumahan terancang pertama di Teluk Intan, dan terletak di lokasi strategik sebelah jalan utama Changkat Jong (Batu 4), bersebelahan UPSI Teluk Intan.

4. Khidmat Masyarakat – Tiada Yang Tertinggal, Tercicir

Bantuan buat mereka yang tidak berkemampuan pastinya sangat diperlukan. Peka dengan perkara ini pemberian bantuan istimewa kepada golongan ibu bapa tunggal di Teluk Intan akan diadakan.

Selain terus membantu warga Teluk Intan memohon serta mengemas kini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pemberian bantuan secara lansung seperti bantuan perubatan dan kerusi roda percuma juga akan diteruskan.

Sementara itu, kadar Bantuan Am Kebajikan akan dinaikkan antara RM300 hingga RM500 mengikut keperluan isi rumah dan pemberian air percuma kepada golongan miskin akan ditingkatkan kepada 30 meter padu dan rumah-rumah ibadat akan diberikan air percuma sehingga 90 meter padu. Malah rumah usang juga akan turut dibaiki.

5. Pendidikan – Menyediakan Peluang Yang Sama

Bagi membina generasi masa depan yang berkemampuan meneraju negara dengan lebih baik, kelas tambahan (tuisyen) percuma di bawah kelolaan Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Teluk Intan bersama-sama institusi sekolah akan diberikan kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah di Teluk Intan.

Bantuan pemberian seragam sekolah percuma serta baucar makanan tambahan kepada para pelajar kurang berkemampuan turut akan diteruskan.

6. Masalah Banjir – Rancangan Tebatan Banjir

Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk Fasa 2 dan Fasa 3 akan dimulakan bagi melengkapi pelaksanaan RTB Fasa 1 yang bernilai hampir RM70 juta. Malah sebuah pelan penyelesaian jangka masa panjang akan disediakan dan kajian menyeluruh sedang dilaksanakan.

Demi melancarkan arus air ketika hujan, sistem saliran air dan perparitan di kawasan-kawasan perumahan dan kampung akan turut dinaik taraf.

7. Keselamatan – Lebih Maju, Aman & Tenteram

Demi memastikan keselamatan orang ramai, lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di kawasan risiko tinggi jenayah. Sehingga kini sebanyak 20 kamera litar tertutup dipasang di tiang-tiang utama sekitar Teluk Intan dan lokasinya dipilih oleh pihak polis.

Malah kawalan keselamatan daripada Polis, Rela dan PKSTI turut akan dipertingkatkan. Bilangan Rakan COP dan pasukan bantuan polis di kawasan kejiranan akan ditingkatkan dan tugas serta peranan pasukan pertubuhan Rela akan diperluaskan.

8. Pelancongan – Kembang Potensi Sedia Ada

Pelancongan merupakan nadi keindahan Teluk Intan dan sehubungan dengan itu, permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan Menara Condong sebagai Tapak Warisan UNESCO akan diteruskan.

Antara inisiatif baru yang dicadangkan ialah untuk mencantikkan tebing Sungai Perak menjadi seperti Tebing Sungai di Shang Hai (Bund of Shang Hai) dengan pembinaan tangga-tangga batu bagi tujuan pelancongan. Jeti serbaguna juga akan dibina untuk memudahkan nelayan dan pemancing malah turut boleh digunakan oleh pelancong.

Laluan “Warisan Anson” dan “Muzium Warisan Teluk Intan” turut akan dibina bagi menarik kedatangan para pelancong asing serta tempatan. Disamping itu, pembinaan laluan dan muzium tersebut dapat memelihara warisan kebudayaan dan sejarah Teluk Intan untuk generasi akan datang.

Teluk Intan adalah lokasi pelancongan yang malar segar dan setiap pembangunan yang akan dibangunkan nanti pastinya akan memberi seri selain menaikkan nama kawasan pelancongan ini ke fasa yang lebih unggul.

Jagalah nama Teluk Intan ini demi masa hadapan yang gemilang dan dapat menjadi tatapan generasi akan datang. Untuk melihat dengan lebih lanjut, kami kongsikan infografik di bawah untuk rujukan warga Teluk Intan.

×