Pelakon dan pengarah Que Haidar memaklumkan sudah bercerai dengan Linda Jasmine pada 2 Julai lalu selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga.
Memetik Harian Metro, Que berkata mereka sepakat untuk mengambil keputusan tersebut namun hubungan mereka masih baik demi anak-anak.
BACA: Netizen Terpegun Dengan Kecantikan Anak Que Haidar, Tengku Ratu
“Allahuakbar, Alhamdulillah itu (perceraian) yang Allah aturkan. Saya minta semua doakan yang terbaik untuk saya dan Linda. Tapi kami masih baik, tiada siapa yang mahu bercerai.
“Mungkin jalan ini yang terbaik, kami masih berkawan demi anak-anak. Penceraian kami berlaku pada 2 Julai lalu,” katanya.
Sementara itu, Que meminta untuk doakan yang baik-baik buat mereka namun tidak memperincikan punca penceraian serta menyifatkan ia terlalu peribadi untuk dikongsi.
“Hal rumah tangga adalah hal peribadi. Perkara seperti ini (penceraian) bukanlah untuk dibanggakan. Lebih baik simpan sendiri, doakan yang terbaik.
“Kami masih saling memberikan sokongan, apa yang terbaik untuk kami berdua dan anak-anak. Tidak ada benda yang perlu diuar-uarkan atau dikongsi.
“Hubungan kami masih sangat baik dan Alhamdulillah anak-anak juga terima semua ini dengan matang. Tiada perbalahan antara kami,” katanya.
Untuk rekod, Que dan Linda mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009. Pasangam itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun.
SUMBER: Harian Metro